[VIDEO] Dewan Rakyat 'panas' isu PN mahu jatuhkan Kerajaan Perpaduan

Iklan
Dewan Rakyat panas ketika Rayer membangkitkan laporan media mengenai kenyataan Abdul Hadi yang mengakui PN sedang berusaha 'menjatuhkan' Kerajaan Perpaduan.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Dewan Rakyat pada Selasa kecoh selepas RSN Rayer (PH-Jelutong) membangkitkan laporan media mengenai kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi yang mengakui Perikatan Nasional (PN) sedang berusaha 'menjatuhkan' Kerajaan Perpaduan.

Suasana panas itu berlarutan sehingga kira-kira lima minit apabila beberapa ahli Parlimen PN cuba mempertahankan Abdul Hadi.

Iklan
Iklan

Susulan kenyataan Abdul Hadi itu, Rayer menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjalankan siasatan kerana mendakwa ia merupakan sesuatu yang menyalahi undang-undang kanun keseksaan.

"Aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen boleh membawa hukuman penjara 20 tahun. Ini adalah Kerajaan Perpaduan yang diilhamkan oleh Yang di-Pertuan Agong," katanya ketika Perbahasan Belanjawan 2023.

Iklan

Kenyataan Rayer mendapat reaksi Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) dengan membacakan Peraturan Mesyuarat 36 (6) bahawa seseorang ahli tidak boleh mengeluarkan kenyataan jahat ke atas sesiapa ahli lain.

"Tadi YB Jelutong menyebut Marang sedang merancang. Ini satu sangkaan jahat. Marang hanya mengulas kenyataan politik...dia tak merancang pun dengan melihat perkembangan yang ada," katanya.

Iklan

Jelutong bagaimanapun berkata, kenyataan politik yang dibuat Abdul Hadi merupakan satu pengakuan.

"Itu kenyataan bukan rancangan. Melainkan tok guru menyebut kami merancang untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan (tapi) tok guru tak sebut pun. Ini satu sangkaan jahat, Jelutong wajib tarik balik," balas Mohd Misbahul.

Kekecohan yang berlaku menyebabkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng bertindak menutup fungsi pembesar suara, namun suara jeritan ahli-ahli dewan yang sedang bertengkar masih kedengaran.

Dewan menjadi lebih panas apabila Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) bangun sambil meninggikan suara terhadap Rayer yang menyifatkan kenyataan Abdul Hadi sebagai pelakuan yang menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Buat laporan polis kalau ada bukti," katanya.

Kemudian, Tan Kar Hing (PH-Gopeng) dilihat 'menambah garam' dengan membacakan laporan media.

"Marang berkata, kami (pembangkang) berhak merancang jatuhkan kerajaan tiada siapa boleh halang," katanya.

Tindakan Kar Hing membuatkan suasana bertambah panas apabila Khlir sekali lagi meninggikan suara.

"Kalau ada bukti, buat laporan polis," katanya.

Ketereh terus bertikam lidah dengan Gopeng namun butirannya tidak begitu jelas setelah Timbalan Speaker sekali lagi mematikan pembesar suara.

"Jangan panas dalam dewan. Sila duduk ahli-ahli yang berhormat. Kalau panas boleh rehat sekejap," kata Alice.

Beliau kemudiannya meminta mana-mana ahli Parlimen yang tidak berpuas hati agar menghantar usul.