Solari tak sangka JDT menang besar

Iklan
Forestieri meraikan jaringan bersama pemain JDT lain ketika berdepan Negeri Sembilan di Paroi pada Isnin. Foto Facebook Johor Southern Tigers

PENGENDALI Johor Darul Ta'zim (JDT), Estaban Solari menyifatkan kejayaan pasukannya melakar kemenangan besar 7-0 ke atas Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Super 2023 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pada Isnin sebagai luar jangkaan.

Solari berkata, beliau tidak menyangka skuad Harimau Selatan mampu mencatat kemenangan dengan jumlah jaringan yang besar biarpun berdepan tentangan sengit tuan rumah.

Iklan
Iklan

Namun Solari mengakui amat gembira dengan peningkatan prestasi kelab selatan tanah air itu apabila setiap pemain melaksanakan tugas dengan cemerlang.

"Ya, para pemain menunjukkan kesungguhan dalam persembahan dan sentiasa berusaha untuk mendapatkan keputusan yang terbaik dalam setiap perlawanan termasuk perlawanan ini.

Iklan

"Pemain telah melaksanakan tugas masing-masing dengan cukup berkesan dari separuh masa pertama dan mengekalkan tahap konsisten bagi menambah jaringan pada separuh masa kedua.

"Saya gembira apabila semua pemain mengetahui tanggungjawab masing-masing dan kepentingan untuk capai kemenangan. Namun saya tidak menyangka pasukan memperoleh jaringan yang besar,” katanya semasa sidang media selepas perlawanan pada Isnin.

Iklan

Pada perlawanan itu, gol JDT dijaringkan Fernando Forestieri pada minit ke-21 dan 48, Dioga Luis Santo (m-41), Arif Aiman Hanapi (m-52), Corbin Ong La Vere Lawrence (m-67, m-88) dan Edrick Dos Santos Parafita (m-72).

Keputusan di Paroi itu menyaksikan Harimau Selatan kembali menerajui liga dengan sembilan mata diekori rapat Sabah FC (sembilan mata), namun dipisahkan perbezaan jaringan selepas masing-masing mengharungi tiga perlawanan.

Sementara itu, Negeri Sembilan pula yang masih belum melakar sebarang kemenangan berada di tangga ke-12 liga dengan dua mata hasil tiga perlawanan.

Mengulas persediaan menentang Kelantan FC di Stadium Sultan Ismail Iskandar Puteri pada Sabtu ini, Solari mengakui The Red Warriors (TRW) kendalian Choi Moon-sik berada dalam motivasi terbaik selepas melakar kemenangan ke atas Penang FC di Kota Bharu pada Isnin.

"Ya, kami menjangkakan satu tentangan yang sengit daripada pasukan Kelantan, namun begitu saya tegaskan kami akan memfokuskan kepada persediaan pasukan untuk perlawanan itu.

"Fokus utama kami adalah memastikan para pemain mempamerkan kualiti permainan yang lebih baik dalam setiap perlawanan.

"Pasukan tahu bagaimana untuk bermain, percaya dengan kualiti,” katanya yang berharap mesin gol Harimau Selatan, Bergson Da Silva dapat diturunkan berdepan TRW.