Veteran Semboyan Diraja terima manfaat BA100

Iklan
Abdul Rahman (duduk tengah) dan Mohd Akram (dua dari kiri) bersama warga Koperasi Veteran Rejimen Semboyan Diraja dan Angkasa yang hadir program di Jalan Padang Tembak pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Prihatin dengan kebajikan warga Koperasi Veteran Rejimen Semboyan Diraja (KVRSD), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyampaikan 100 pek sumbangan barangan asas bernilai RM5,000.

Timbalan Presiden Angkasa, Datuk Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik berkata, sumbangan itu merupakan merupakan inisiatif Angkasa membantu mereka dalam mendepani cabaran kos sara hidup.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sumbangan ini juga merupakan satu bentuk penghargaan kepada mereka warga veteran Rejimen Semboyan Diraja yang telah banyak mengorbankan masa dan tenaga dalam menjaga kedaulatan negara.

"Sebagai badan puncak gerakan koperasi negara, Angkasa turut menyeru supaya gerakan koperasi turut terlibat secara aktif bagi membantu anggotanya dan juga masyarakat yang terkesan dengan keadaan semasa samada dari segi ekonomi mahupun keperluan sosial termasuk menyediakan peluang pendidikan dan pekerjaan dalam usaha membasmi kemiskinan secara berkesan,” katanya pada program Santuni Koperasi dan Penyampaian Sumbangan Barangan BA 100 kepada KVRSD di Jalan Padang Tembak di sini pada Selasa.

Iklan

Turut hadir Pengerusi KVRSD, Datuk Mohd Akram Mohd Akbar dan Timbalan Pengerusi Angkasa Wilayah Persekutuan, Mohd Shapie Idris.

Abdul Rahman (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang veteran Anuar Abu Chik, 65,(kanan)

Abdul Rahman berkata, koperasi juga disarankan untuk turut terlibat membantu kerajaan dalam isu kos sara hidup dengan menyertai Projek Barang Asas 100 (BA100) yang diterajui oleh Angkasa.

Iklan

"BA100 merupakan ekosistem pembekalan barangan asas yang menghubungkan pengguna, peruncit dan pembekal dalam satu sistem secara dalam talian dan penglibatan lebih banyak koperasi akan membantu penawaran harga yang lebih kompetitif disebabkan tempahan barangan dibuat secara pukal.

"Jika hasrat melibatkan sekurang-kurangnya 3000 koperasi menyertai BA100 dapat dicapai, maka impak kos sara hidup terhadap rakyat akan dapat dikurangkan,” katanya.

Jelasnya, walaupun sumbangan ini dalam kuantiti yang kecil, tetapi ianya sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mereka yang terkesan sekaligus memastikan kesejahteraan dan kebajikan masyarakat terjaga.