NEGERI Sembilan FC memerlukan 10 tahun lagi untuk menyaingi pasukan berintensiti tinggi seperti penyandang juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT).
Malah pengendali Negeri Sembilan, K Devan tanpa berselindung mengakui kualiti para pemain Harimau Selatan itu jauh berbeza dengan pasukannya yang baharu ditubuhkan dalam tiga tahun ini.
Menurutnya, kekalahan 0-7 Negeri Sembilan kepada JDT juga memberi isyarat jelas bahawa banyak perkara perlu dilakukan bagi menyediakan pasukan yang mantap.
"Kita semua tahu JDT merupakan satu pasukan terbaik dalam negara. Kalau dibandingkan kualiti pasukan kita, jauh berbeza dan kita nampak jurang kualiti pemain.
"Negeri Sembilan baharu ditubuhkan dalam tempoh tiga tahun dan kita dalam proses untuk membentuk pasukan yang kuat, ia memerlukan masa...kalau kita mahu setanding dengan mereka, saya fikir pasukan perlu 10 tahun lagi,” katanya selepas perlawanan di Paroi pada Isnin.
Pada perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Harimau Selatan yang berstatus juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu berpesta gol hasil jaringan Fernando Forestieri (minit ke-21, m-48 penalti) dan La'Vere Corbin-Ong (m-67, m-88) masing-masing menjaringkan dua gol manakala Diogo Luis Santo (m-41), Arif Aiman Hanapi (m-52), dan Endrick (m-72).
Mengenai ketiadaan tonggak pertahanan, Herold Goulon, Devan berkata, pemain import yang masuk lewat perlu berada dalam tahap kecergasan baik bagi menghasilkan persembahan yang baik.
"Bukan Goulon sahaja, kita beraksi dengan dua pemain import, Casagrande sampai sini tiga hari sebelum perlawanan pertama lepas itu dia tidak cergas dan dia telah cuba untuk bermain tiga perlawanan dalam sembilan hari yang merupakan keadaan yang sukar untuk dia.
"Hari ini pun kita tengok serangan kurang efektif, jadi perlawanan hari ini tiada keseimbangan antara menyerang dan bertahan.
"Ini bukan soal Goulon sahaja sebaliknya kita perlu meningkatkan kualiti dan kecergasan fizikal pasukan. Pemain import yang masuk lewat juga perlu berada dalam tahap kecergasan baik bagi menghasilkan persembahan yang berkualiti,” katanya.