Tingkat keupayaan mesin pengimbas laluan masuk negara

Iklan

KOTA KINABALU - Kerajaan akan memastikan keupayaan mesin pengimbas di semua laluan masuk di negara ini dapat ditingkatkan untuk membasmi kegiatan penyeludupan, kata Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Sehubungan itu, katanya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan mengenal pasti semua kaedah untuk memastikan sistem pengimbas di laluan masuk di seluruh negara ini, termasuk di pelabuhan, dapat dioptimumkan dari semasa ke semasa.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, semua laluan masuk di negara ini perlu mempunyai mesin pengimbas yang lengkap, dan menurutnya kebanyakan kes penyeludupan yang berlaku adalah berpunca daripada sistem pengimbas yang kurang berkesan.

"Kita tahu hanya peningkatan sistem pengimbas di laluan masuk adalah langkah utama untuk mengatasi masalah penyeludupan, selain maklumat daripada orang ramai," katanya kepada pemberita selepas meninjau keberkesanan mesin pengimbas di Lapangan Terbang Kota Kinabalu (KKIA) di sini pada Selasa.

Iklan

Turut hadir, Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Mohd Nasir Deraman.

Ahmad berkata, kos bagi mewujudkan mesin pengimbas di pelabuhan adalah kira-kira RM20 juta, manakala mesin pengimbas bagasi di lapangan terbang hanya sekitar RM500,000.

Iklan

Menurutnya, dengan keberkesanan mesin pengimbas, semalam JKDM Sabah berjaya menahan satu kontena berisi daging khinzir yang disyaki cuba diseludup masuk ke negara ini yang dianggar bernilai RM300,000 dengan nilai duti serta cukai terlibat dianggarkan RM65,700.

"Bertindak berdasarkan hasil penilian risiko imbasan mesin pasukan serbuan daripada Bahagian Penguatkuasan Tawau dan Cawangan Import Eksport Pelabuhan Tawau telah menahan kontena dari Hong Kong yang diikrarkan sebagai mengandungi Potato French Fries itu.

"Hasil pemeriksaan fizikal mendapati terdapat daging khinzir dalam kontena berkenaan. Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967," katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, Sabah berjaya mengutip lebih RM1.79 bilion cukai sepanjang tahun lepas.

"Cukai yang dipungut adalah antaranya hasil kastam iaitu lebih RM1.21 bilion. Saya berharap kutipan hasil cukai dapat ditingkatkan lagi tahun ini," katanya. - Bernama