IPOH - Satu kertas cadangan akan dibentang dalam Mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri untuk menjadikan sekolah agama rakyat (SAR) sebagai sekolah bantuan kerajaan negeri.
Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi berkata, cadangan itu bagi membolehkan kerajaan mengambil alih hal-hal berkaitan pembayaran gaji guru-guru dan penyelenggaraan sekolah.
Iklan
Iklan
Menurutnya, meskipun sebelum ini ada bantuan disalurkan, tetapi sumbangan berkenaan dalam keadaan terbatas, malah tidak ada peruntukan khas disediakan kepada sekolah agama rakyat.
"Cadangan ini akan dikemukakan tahun ini juga, selari dengan hasrat kita untuk ambil alih, sebab utama tentunya gaji guru-guru kerana seperti mana kita tahu, sekarang ini gaji guru sekolah agama adalah rendah sedangkan kita mengatakan gaji minima ditentukan pada kadar RM1,100," katanya menjawab soalan tambahan dikemukakan Muhd Fadhil Nuruddin (Kamunting-Amanah) pada Sidang DUN Perak, hari ini.
Beliau berkata, dengan penyelarasan dibawah sekolah bantuan kerajaan itu, hampir 70 peratus perbelanjaan yang ditanggung sekolah agama rakyat akan diambil alih oleh kerajaan.
Katanya, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk) setakat ini telah meluluskan RM662,000 untuk 28 sekolah agama rakyat bagi membiayai kos baik pulih bangunan, pejabat dan pembelian peralatan kerusi meja.
"Kerajaan negeri pula dalam pembentangan belanjawan 2019 telah memperuntukkan RM3 juta untuk penyelenggaraan sekolah agama rakyat," katanya menjawab soalan lisan dikemukakan Maslin Sham Razman (Bukit Chandan-BN).