SHAH ALAM - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyatakan perancangan baik yang ditinggalkan oleh kementerian itu sebelum ini wajar dikekalkan.
Beliau berkata, itu merupakan pandangannya apabila mengambil alih tugas sebagai Menteri Ekonomi yang sebelum ini sebahagian besarnya dilaksanakan oleh bekas menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
"Saya tidak tahu perasaan orang lain seperti saya yang menjadi menteri terutama jika ia kali pertama menjadi menteri.
"Ramai mengucapkan tahniah dan saya selalunya tidak tahu reaksi macam mana perlu dibalas atas ucapan tahniah tersebut kerana tugas itu adalah satu beban yang besar.
"Bagi saya, tugas sebagai menteri tidaklah berbeza dengan tugas seorang 'pengurus besar'. Organisasi yang kita sertai sudah ada perancangan yang dibuat," katanya di Facebook pada Rabu.
Tambah Rafizi, keberkesanan seorang pengurus besar ialah kebolehannya membaiki perancangan itu dan melaksanakannya dengan lebih baik supaya matlamat dicapai.
"Bila sudah sampai masa untuk kita beralih ke tugas yang baru sebaiknya kita tinggalkan organisasi itu dalam keadaan yang lebih baik dan manfaatnya dirasakan oleh ramai orang.
Dalam pada itu, Rafizi menjelaskan lebih-lebih lagi latar belakang beliau dengan Mustapa lebih kurang sama iaitu mempunyai latihan profesional dalam bidang ekonomi dan kewangan.
"Minat kami pun banyak persamaan, seperti usaha membasmi kemiskinan dan membantu orang susah. Tok Pa (Mustapa) berkunjung ke pejabat lama hari Isnin baru-baru ini.
"Saya berbesar hati agar Tok Pa terus mendapat ruang untuk menyumbang khidmatnya (walau dalam persaraan) dalam perkara-perkara di bawah Kementerian Ekonomi yang rapat dengan hatinya seperti pembasmian kemiskinan dan meningkatkan kelestarian ekonomi menepati sasaran pembangunan lestari (SDG)," jelas Rafizi.
Menurut Rafizi, tiba masa beliau untuk menyerahkan amanah tersebut kepada pengurus besar selepasnya pada suatu hari nanti diharapkan ada kesinambungan baik.
"Saya juga berharap ada kesinambungan yang baik seperti (dilakukan) antara saya dan Tok Pa.