KUALA LUMPUR - Tan Sri Abdul Hadi Awang seharusnya menyeru ahli yang menyokong Perikatan Nasional (PN) untuk menukar Kerajaan Perpaduan melalui pilihan raya umum (PRU) akan datang, dan bukan melalui 'tebuk atap', Langkah Sheraton atau menandatangani akuan bersumpah (SD).
Demikian disuarakan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu yang bimbang dengan kenyataan yang dibuat secara berulang oleh Abdul Hadi baru-baru ini.
Presiden Pas itu, selaku Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), mengakui gabungan politik itu sedang berusaha 'menjatuhkan' kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kata Mohamad, yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, kenyataan Abdul Hadi boleh menimbulkan kebimbangan pelabur dan rakyat itu sendiri.
"Sepatutnya Presiden Pas yang wakili PN bekerja kuat menggunakan segala yang ada pada mereka untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan melalui pilihan raya akan datang. Ini yang menyuburkan demokrasi.
"Telah diketahui daripada angka-angka yang dipersembahkan, pertukaran tiga Perdana Menteri dalam masa yang singkat menjejaskan aliran pelaburan ke Malaysia," katanya melalui Facebook beliau pada Selasa.
Mohamad turut melahirkan kekesalan susulan kenyataan Abdul Hadi itu, namun berkeyakinan bahawa kerajaan pimpinan Anwar akan bertahan sehingga PRU akan datang.
"Binalah Malaysia Madani, Malaysia yang demokrasi, tukarlah kerajaan melalui sistem pilihan raya," ujarnya. - Awani