LAPAN tahun menunggu, akhirnya kesabaran untuk menaiki podium selaku juara tertunai apabila seorang pekerja swasta dinobatkan juara Cabaran Joran Ampang Jaya 2023 di Tasik Pandan Perdana, Ampang Jaya, Selangor pada Ahad.
Ternyata berkat kesabaran itu dipermudahkan dan Muhammad Shahrul Salam berjaya menaikkan ikan patin seberat 1.795 kilogram (kg), sekali gus menewaskan hampir 600 peserta lain.
Kemenangan itu membolehkan Shahrul, 33, yang berasal dari Sungai Buloh, Selangor membawa pulang wang tunai RM5,000.
"Sudah lama saya tunggu untuk naik podium akhirnya tercapai juga. Disebabkan itu, saya berhasrat wang kemenangan itu dikongsikan bersama keluarga yang banyak menyokong saya.
"Alhamdulillah, tak percaya saya menang kali ini, wang kemenangan ini saya akan manfaatkan sebaiknya,” katanya yang berkecimpung aktiviti memancing sejak lapan tahun lalu.
Menurut Shahrul, dia menggunakan umpan roti berperisa strawberi sepanjang pertandingan dan spesis patin ‘bertuah’ itu dinaikkan pada 10.23 pagi selepas pertandingan bermula.
"Sebelum ini saya kerap menyertai pertandingan memancing namun tidak pernah memenangi tempat pertama. Paling bertuah pun saya dapat ranking-ranking di bawah sahaja pada tahun sebelum sebelumnya,” katanya.
"Saya harap penganjuran ini dapat diteruskan kerana inilah waktu terbaik bagi kaki pancing berkumpul dengan keluarga, selain merapatkan silaturahim sesama mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Noor Hashim Sapri, 42, dari Selayang, Selangor memenangi tempat kedua selepas menaikkan ikan haruan seberat 860 gram untuk membawa pulang RM2,000.
Tempat ketiga dimenangi Abu Shah Johari, 42, dari Kampong Berembang, Selangor selepas menaikkan ikan lekoh seberat 735 gram dan meraih RM1,000.
Acara yang bermula pada jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu turut disertai oleh 'kaki-kaki pancing' dari luar Selangor termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Melaka.
Antaranya spesies yang dinaikkan oleh para peserta seperti ikan patin, haruan, lekoh, puyu, taja, tilapia, ketutu, lampam dan peacock bass.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, penganjuran Cabaran Joran Ampang Jaya 2023 itu diharap dapat tingkatkan promosi pelancongan domestik di kawasan tasik di Ampang Jaya amnya.
"Saya puas hati dengan sambutan daripada para kaki pancing terhadap pertandingan ini. Sambutan yang sangat baik itu turut disertai oleh pelbagai bangsa dan usia.
"Saya bersetuju acara pertandingan memancing dalam Cabaran Joran Ampang Jaya dijadikan acara tahunan memandangkan sambutan yang diterima sangat baik,” ujarnya.
Program anjuran MPAJ dengan kerjasama Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 21 itu bertujuan mempromosikan sukan memancing di kalangan 'kaki pancing' serta sebagai satu platform untuk mempromosikan Taman Pandan Perdana, Ampang Jaya kepada penduduk sekitar.