KUANTAN - Dua gajah denak dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Abot dan Rambai akan digunakan bagi membantu membawa keluar dan memindahkan gajah jantan liar yang ditangkap dalam hutan berhampiran Taman Perumahan Pandan Damai di sini.
Pengarah Perhilitan Pahang, Rozidan Md Daud berkata, kedua-dua gajah denak betina itu telah dibawa dan tiba ke kawasan tersebut pada petang Selasa.
Menurutnya, operasi pemindahan gajah liar dengan bantuan gajah denak itu dijangka dilakukan pada Khamis.
Kehadiran dua gajah denak yang ditambat sementara di kawasan belukar di tepi laluan Jalan Pintasan Kuantan di sini menarik perhatian orang ramai termasuk pengguna jalan raya.
Rozidan berkata, gajah liar itu sudah ditangkap Unit Tangkapan Gajah (UTC) dengan menembak ubat pelali dan mengikatnya bagi tujuan dipindahkan ke habitat asal.
"Gajah itu dipercayai menjadikan Hutan Simpan Cerul, Kemaman sebagai kawasan habitat semula jadi sebelum tersesat hingga ke kawasan Bukit Rangin selepas terpisah dari kawanannya.
"Haiwan itu dipercayai sudah berada di hutan kecil terbabit sejak kira-kira seminggu lalu berdasarkan keadaan tanah sekitar haiwan itu ditemui," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Rozidan berkata, anggota UTC Perhilitan Pahang memantau gajah jantan berkenaan setiap hari sebelum operasi memindahkan dilakukan.