IPOH - Pemilihan UMNO kali ini bukan sahaja menyaksikan ramai calon muda menawarkan diri bertanding pelbagai jawatan tetapi turut menampilkan kreativiti untuk menarik perhatian perwakilan.
Seperti pemilihan UMNO di Bahagian Bagan Datuk, seorang calon, Effendy R Azmi, 40, mengumumkan bertanding sebagai Exco Pemuda UMNO Bahagian dan Exco UMNO Bahagian tersebut dengan menyanyi rap.
Menurutnya, idea tersebut muncul kerana mahu memberikan kelainan dan keunikan berbanding calon-calon lain yang menawarkan diri.
"Saya ambil masa selama dua hari untuk siapkan lirik lagu ini dan kemudian nyanyikannya menerusi akaun TikTok. Selain itu saya juga buat poster sendiri seperti mana kebiasaan calon-calon lain buat.
"Ini merupakan kali pertama saya tawarkan diri bertanding dalam pemilihan UMNO dan saya harap ada peluang untuk dipilih perwakilan," katanya yang juga seorang pereka grafik.
Dalam pada itu, Effendy menjelaskan, tawaran untuk bertanding di peringkat bahagian tersebut sebagai menyambung legasi ditinggalkan arwah bapanya, R Azmi Abdul Wahab yang pernah menjawat jawatan berkenaan.
Menurut Effendy, bapanya pernah berada di dalam kepimpinan UMNO Bahagian Bagan Datuk dan menjadi pegawai khas kepada Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Selain itu katanya, tawaran bertanding itu dibuat untuk membantu mentransformasikan UMNO Bahagian Bagan Datuk.