Surat tular: Isham bidas kenyataan KJ

Iklan
Isham dalam siaran video dimuat naik di Facebooknya pada Rabu.

SHAH ALAM - Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil membidas kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung isu surat tular yang didakwa daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Isham berkata, meskipun beliau sendiri tidak pernah membaca surat berkenaan namun, kandungan surat itu dilihat tidak jelas dan banyak tafsiran.

Iklan
Iklan

"Pada hemat saya, menteri bagi surat mengatakan pengecualian (daripada pematuhan Seksyen 13(1) (iv) Akta 832) itu sebab kalau surat RoS itu betul, banyak perkara yang kita boleh dipertikai. Nombor satu kenapa RoS kata hal (usul) itu tidak teratur.

"Kalau dia (Khairy) tahu undang-undang, dalam Malaysia ini ada satu dokumen undang-undang nama dia Perlembagaan Malaysia, dalamnya Perkara 10 menyatakan kebebasan berpersatuan.

Iklan

Pada Selasa, Khairy berkata, UMNO perlu mengambil tindakan pembetulan (corrective measure) dengan melaksanakan semula pemilihan jawatan bagi Presiden dan Timbalan Presiden parti.

Menurut bekas Menteri Kesihatan itu, perlembagaan UMNO sendiri telah menetapkan bahawa jawatan-jawatan utama termasuk Presiden dan Timbalan Presiden hendaklah dipilih setiap tiga tahun sekali.

Iklan

Pada Selasa, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) kepada UMNO berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti tahun ini.

Sebelum ini, usul tambahan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO akan datang dicadangkan perwakilan dari Negeri Sembilan, Mohd Shukri Samsudin.

Ujar Isham lagi, sekiranya UMNO membawa satu usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden itu tidak dipertandingkan maka, mereka boleh bawa usul itu kepada ahli-ahli untuk menentukan sama ada sesuatu keputusan itu sah atau tidak.

"Yang boleh menentukan perkara ini adalah Perhimpunan Agong UMNO (PAU), sebab memang betul Majlis Tertinggi boleh buat keputusan tetapi yang lebih tinggi daripada Majlis Tertinggi itu adalah PAU sebab perwakilannya lebih ramai.

"Bila kita bawa ke PAU, kita ada (bukti) video semua, senarai perwakilan telah dihantar ke RoS dan 90 peratus daripada mereka telah berdiri.

"Pengerusi tetap pun telah bertanya siapa yang tidak bersetuju, ada yang tidak bersetuju juga tetapi beberapa kerat sahaja, saya rasa tidak sampai dalam 30 orang daripada 30,000 orang dalam dewan itu,” ujarnya.