KUALA LUMPUR - Kerajaan komited terhadap dana permulaan berjumlah RM10 juta yang berperanan sebagai jaminan permintaan kredit karbon dijana Malaysia dan pemula pasaran bagi menyokong usaha negara mencapai matlamat sifar bersih karbon seawal 2050, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, ini memandangkan wujud keperluan untuk menumpukan lagi pelaburan dalam bidang pertumbuhan hijau termasuk teknologi hidrogen, biotenaga dan mobiliti elektrik -- pengupaya pelaksanaan hijau di semua sektor selain menjadi enjin ekonomi pada masa depan.
"Teras dalam penekanan bidang ini adalah untuk memastikan bahawa rakyat Malaysia turut meraih manfaat daripada peralihan pengetahuan serta kemahiran teknologi tinggi sambil mengutamakan usaha penyelidikan dan pembangunan,” katanya dalam ucap tama beliau pada program Invest Malaysia 2023 di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, aspek itu juga merupakan antara bidang bagi pembangunan lanjut Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kini dalam proses dibangunkan semula untuk melibatkan penyertaan sektor swasta secara lebih ketara manakala akademik konvensional pula menyaksikan usaha memperkemas silibus universiti.
"Saya berharap projek-projek dalam bidang ini akan berkembang kepada satu tahap yang membolehkan mereka memanfaatkan Pasaran Karbon Sukarela Malaysia di bawah kendalian Bursa Malaysia,” katanya.
Anwar juga menyifatkan Bursa Carbon Exchange (BCX) yang dilancarkan pada Disember lepas sebagai pemangkin utama ke arah mencapai masa depan sifar bersih.
Malah, ini juga merupakan bursa pertama dunia yang menerima perakuan Syariah bagi Bursa Karbon.
"Perniagaan hijau bukan setakat penting bagi kemampanan ekonomi, tetapi juga bagi semua kehidupan serta kualiti berkaitan.
"Malaysia adalah sebuah negara yang diberkati, rumah yang turut menempatkan beberapa hutan hujan tertua dunia manakala lautan kita juga diiktiraf sebagai salah satu lubuk takungan biodiversiti terkaya dunia. Ini semua adalah aset semula jadi anugerah Tuhan dan melindungi serta menghargainya adalah sesuatu yang perlu dilakukan.
"Dari segi aset, kita perlu membangunkan sendiri bidang ini. (Misalnya) menerusi Bank Negara Malaysia, kita akan menyediakan kewangan bagi menyokong syarikat permulaan teknologi hijau selain turut membantu perusahaan kecil dan sederhana melaksanakan amalan karbon rendah,” kata beliau.
Mengulas bentuk sokongan dalam bidang tersebut, Anwar berkata, ini termasuk Skim Pembiayaan Teknologi Hijau, Elaun Cukai Pelaburan dan Pengecualian Cukai Pendapatan bagi aktiviti layak.
Beliau berkata, dalam membicarakan masa depan alam sekitar dari segi kepentingan untuk bumi serta kualiti hidup sebagai prinsip pemacu, adalah wajar bagi pembangunan serta sokongan lanjut menerusi kewangan Islam -- bidang yang menyaksikan Malaysia sememangnya diiktiraf sebagai peneraju global.
"Kerajaan komited untuk meningkatkan lagi ekosistem kewangan Islam agar ia dapat menjadi pemacu perubahan masyarakat yang sebenar, khususnya menerusi pengoptimuman wakaf.
"Berikutan itu, berkuat kuasa 3 April, 2023, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia memperluas Rangka Kerja Dana Bercirikan Wakaf dengan turut merangkumi Amanah Pelaburan Hartanah Pelaburan (REIT) dan Dana Dagangan Bursa (ETF) Islam,” kata beliau. - Bernama