SHAH ALAM - Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (Aswa) mencadangkan kerajaan melantik pegawai kebajikan di setiap komuniti bagi memudahkan mangsa khususnya golongan wanita yang terlibat dengan gangguan seksual dan keganasan rumah tangga untuk membuat aduan.
Presidennya, Wan Azliana Wan Adnan berkata, pegawai lantikan itu perlu diberi latihan yang cukup bagi mengendalikan kes-kes berkenaan.
Katanya, mereka bukanlah berperanan sebagai kaunselor mahupun polis tetapi tahu cara untuk mendapatkan bantuan daripada pihak yang sepatutnya.
"Pegawai kebajikan ini telah lama wujud di luar negara. Mereka sepatutnya berada dalam komuniti bukan daerah, senang apabila ada individu terlatih berada dalam kalangan masyarakat, aduan boleh dibuat secara terus.
"Mereka akan jadi mata, mulut dan telinga masyarakat. Tidak dinafikan sudah ada pelbagai saluran lain namun agar sukar untuk dicapai oleh mangsa sekali gus risau stigma negatif masyarakat sering menyalahkan mangsa (victim blaming)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Pelaksanaan Akta Antigangguan Seksual 2021 yang diluluskan di Parlimen turut membela nasib wanita termasuk mangsa keganasan rumah tangga.
Jelasnya, satu garis panduan berkenaan undang-undang tersebut akan disediakan bagi menjadi rujukan kepada mangsa keadaan.
Tambah Wan Azliana, kesedaran dan pelaksanaan undang-undang di negara ini masih dikategorikan sebagai lemah.
"Kesedaran terbahagi kepada tiga kategori iaitu dalam kalangan masyarakat, mangsa dan juga pelaku. Walaupun pelbagai akta dibuat oleh kerajaan namun masalah ini seolah-olah tiada kesudahan kerana kurang kesedaran.
"Jadi saya berpendapat, semua pihak perlu memainkan peranan dan sentiasa menyebarkan kesedaran bagi memastikan tiada individu yang menjadi mangsa penderaan seksual mahupun rumahtangga," ujarnya.