Lebih 2,000 usahawan tani, nelayan terima manfaat

Iklan
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) 2019. -Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Sebanyak 2,769 individu terlibat dalam bidang pertanian dan nelayan menerima manfaat daripada pelbagai inisiatif dan program dilaksanakan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam tempoh hampir setahun kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata antara inisiatif paling berjaya ialah Program Agro Nisaa’- I, yang menyediakan kemudahan pembiayaan mikro khusus untuk usahawan wanita terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40).

Iklan
Iklan

Menerusi program tersebut, katanya telah memanfaatkan 1,719 peserta dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM 5.3 juta sejak dilancarkan pada November tahun lalu.

Menurutnya, program dengan kerjasama Agrobank itu juga membuahkan hasil dalam jangka masa singkat apabila berjaya menjana pendapatan kepada penerima peruntukan tersebut.

Iklan

"Saya juga berjumpa dengan seorang ibu tunggal yang menerima peruntukan tersebut dan kita dapati dia berjaya memperoleh pendapatan RM200 ke RM300 sehari dan menjual produknya di gerai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan,” katanya pada sidang media khas sempena setahun PH mentadbir negara di sini, hari ini.

Selain itu, kata Salahuddin, di bawah program Agropreneur Muda pula peruntukan sebanyak RM6.2 juta disediakan kepada 403 usahawan agro muda berumur 18 hingga 40 tahun.

Iklan

"Setiap usahawan muda ini menerima bantuan bernilai antara RM10,000 dan RM20,000 bagi menjana ekonomi dan meningkatkan pendapatan mereka dalam bidang diceburi,” katanya.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata Program Pasar Nelayan yang meminimumkan rantaian pemasaran dan melepaskan nelayan daripada cengkaman orang tengah pula memanfaatkan 532 nelayan dengan nilai urus niaga berjumlah RM47.7 juta.

"Selain itu, 113 usahawan dan 25 Pertubuhan Peladang Kawasan menerima manfaat hasil model perniagaan industri pengeluaran ayam yang lengkap di sepanjang rantaian nilai,” katanya ketika menyenaraikan beberapa pencapaian kementerian dalam tempoh setahun ini.

Ahli Parlimen Pulai itu turut mengetengahkan pencapaian kementerian berkenaan untuk membuka laluan pasaran durian sejuk beku dalam bentuk biji ke China pada 20 Ogos tahun lepas, menyaksikan 67 ladang durian didaftar di bawah Jabatan Pertanian untuk mengeksport produk tersebut. -Bernama