Tak galak berbuka tepi Sungai Kelantan, bimbang pencemaran

Iklan
Mohd Amar - Foto FB Mohd Amar

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Rakyat tidak digalakkan untuk berbuka puasa di tepi Sungai Kelantan di Lembah Sireh di sini kerana dibimbangi mencemarkan lokasi itu dengan sampah-sarap dan sisa makanan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, walaupun terdapat cadangan supaya tidak membenarkan orang ramai berbuka puasa di situ, namun pihaknya tidak boleh berbuat demikian berikutan tanah tersebut bukan hak milik kerajaan negeri sebaliknya dimiliki sebuah syarikat persendirian.

Iklan
Iklan

"Jadi, hak memberi larangan atau tidak adalah di tangan pemilik tanah.

"Cuma isu yang berbangkit ketika ini ialah masalah kebersihan berdasarkan pada Ramadan sebelum ini, sebahagian pengunjung tidak menjaga kebersihan selepas selesai berbuka puasa,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.

Iklan

Menurut beliau, isu kebersihan menjadi masalah utama sehingga isu itu dibangkitkan oleh beberapa pihak dan menjadi tanggungjawab kerajaan bagi mengawal kebersihan di lokasi tersebut.

"Setakat ini, belum ada sebarang keputusan untuk menyekat orang ramai dan semua keputusan bergantung kepada pemilik tanah sendiri.

Iklan

"Bagaimanapun, kerajaan negeri tidak bermaksud menggalakkan aktiviti berbuka puasa di tepi Sungai Kelantan kerana kami sudah menyediakan Madinah Ramadan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV,” katanya.

Program Madinah Ramadan turut menyediakan makanan percuma pada setiap hari dan lengkap dengan kemudahan untuk solat serta sebagainya.

"Jadi, lebih baik orang ramai berbuka puasa di Madinah Ramadan berbanding di kawasan tepi Sungai Kelantan di Lembah Sireh yang tidak disediakan sebarang fasiliti,” kata Mohd Amar.

Lokasi tersebut menjadi fenomena pengunjung berbuka puasa secara berkelah dengan membawa makanan dari tempat lain dan makan di atas rumput sambil menyaksikan pandangan matahari terbenam pada waktu senja.