PH lapor polis dakwa kenyataan Abdul Hadi menyanggah titah sultan

Iklan
Raja Bahrin ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di IPD Kuala Terengganu pada Rabu.

KUALA TERENGGANU - Pakatan Harapan (PH) Terengganu menggesa siasatan dilakukan berhubung kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai isu larangan berceramah politik di masjid dan surau yang disifatkan menyanggah titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, laporan polis mengenai perkara itu telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini kira-kira jam 12 tengah hari pada Rabu.

Iklan
Iklan

Jelas beliau, siasatan perlu dilakukan berikutan kenyataan pemimpin parti politik itu yang mendakwa akan terus menyampaikan ceramah seperti biasa walaupun Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah mengeluarkan kenyataan rasmi yang melarang aktiviti itu diteruskan.

"Larangan itu jelas tidak membenarkan mana-mana ahli politik menyampaikan kuliah di masjid dan surau demi menjaga institusi suci umat Islam daripada dicemari unsur politik kepartian.

Iklan

"Apa yang disebut beliau (Abdul Hadi) jelas bertentangan dengan arahan atau titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Terengganu. Kita amat dukacita kerana beliau (Abdul Hadi) bukan orang biasa.

"Beliau amat tahu dan arif. Sepatutnya beliau mengambil kira protokol dan adat resam negeri Terengganu," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di sini pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini, Abdul Hadi dalam kenyataannya mengakui akan meneruskan ceramah seperti biasa walaupun dilarang berbuat demikian.

Ahli Parlimen Marang itu dilaporkan berkata, tindakan tersebut tidak menjadi satu kesalahan kerana dalam Islam tidak memisahkan politik dan agama.

Pada 2 Mac lalu, MAIDAM mengeluarkan kenyataan melarang semua pemimpin dan aktivis politik menggunakan masjid serta surau bagi menyampaikan ceramah atau mengadakan sebarang aktiviti berunsur politik kepartian.

Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, larangan itu dibuat setelah mendapat perkenan daripada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Jelas beliau, Sultan Mizan telah menzahirkan rasa dukacita dengan penglibatan segelintir ahli politik yang menyampaikan kuliah, ceramah dan pengajaran agama di masjid dan surau serta bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat di masjid tanpa kebenaran.