Rabun pada usia emas, guru gigih belajar braille

Iklan
Norizah kini gigih belajar braille dan mendalami al-Quran dengan seorang guru di Pertis.

KOTA BHARU - Dia pernah mencurah ilmu kepada ribuan murid sebelum bersara dalam usia 53 tahun kerana mengalami rabun akibat katarak.

Norizah Mohd Noor, 61, berkata, masalah itu semakin serius sejak lima tahun lalu dan kini terpaksa menggunakan braille untuk membaca dan mengaji al-Quran.

Iklan
Iklan

Katanya, lebih menyedihkan apabila suami, Ayub Isa yang setia bersama meninggal dunia pada tahun 2014 kerana kemalangan jalan raya.

"Sejak suami meninggal dunia, saya trauma dan sedih kerana sebelum ini dia sentiasa menemani.

Iklan

"Walaupun reda dengan pemergiannya tetapi saya banyak menyendiri dan menangis kerana dia 'pergi' dalam sekelip mata," katanya ketika ditemui di Rumah Persatuan Orang-orang Cacat Islam Malaysia (Pertis), Bachok.

Ibu kepada tujuh anak dan 14 cucu itu berkata, selepas setahun pemergian suami, tahap penglihatannya semakin kabur sebelum mengambil keputusan bersara pada tahun 2015.

Iklan

Norizah mengakui menyayangi kerjaya guru Bahasa Melayu yang diceburi selama 34 tahun itu tetapi terpaksa menjadi kenangan kerana batas penglihatan dan pergerakan.

Bekas guru Sekolah Kebangsaan Tanjung Chat menjelaskan, pada awalnya dia sukar menerima kenyataan yang kini berstatus orang kurang upaya (OKU) penglihatan tetapi rakan-rakan daripada Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) banyak memberi sokongan.

Ujarnya, di Pertis rakan-rakan mula memperkenalkan tulisan braille.

Jelasnya, selepas beberapa bulan keyakinan untuk belajar meningkat dan kini boleh kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

"Kini saya bersyukur kerana ALLAH SWT masih memberi peluang untuk saya belajar al-Quran," katanya.