ALOR SETAR - Bekas Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail menegaskan tetap setia bersama UMNO walaupun terdapat usaha ‘dipancing’ parti lawan.
Beliau berkata, biarpun hilang jawatan dalam parti dan kini hanya ahli biasa, tidak terlintas dalam fikirannya untuk menyertai parti lain.
Menurutnya, jiwa politik beliau masih bersama UMNO dan akan terus membantu parti itu khususnya di peringkat Parlimen Alor Setar.
"Walaupun keahlian UMNO saya digantung selama enam tahun, saya tidak akan sertai parti lain.
"Saya dibesarkan dalam persekitaran UMNO, selama ini hanya berkhidmat dalam UMNO sehingga ke peringkat tertinggi sebagai Ketua UMNO Bahagian Alor Setar,” katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Mohd Yusof tidak menafikan didekati beberapa parti sebelum ini yang menawarkan tempat untuk beliau meneruskan perjuangan dalam politik.
"Memang ada (cubaan dipancing parti lain), tetapi saya tetap setia bersama UMNO.
"Saya andaikan tidak akan kembali memimpin UMNO selepas tempoh penggantungan tamat, cuma saya akan terus bantu UMNO khususnya Parlimen Alor Setar,” katanya.
Menurutnya, sokongan terhadap UMNO tidak akan berubah walaupun agak lantang dalam menyuarakan pandangan demi untuk kebaikan parti.
"Biarpun saya tidak sehaluan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, saya tetap dengan UMNO sebab parti ini bukan hak milik Presiden.
Pada September tahun lalu, Mohd Yusof dikenakan tindakan disiplin oleh UMNO yang menggantung keahliannya selama enam tahun.
Lembaga Disiplin UMNO kemudiannya menangguhkan hukuman penggantungan tersebut namun dikuatkuasakan semula selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pada pemilihan 2023-2026, menyaksikan pertembungan antara pemangku Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Zambri Mat dengan bekas Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang membuat kemunculan semula.
Mengulas perkara itu, Mohd Yusof mengalu-alukan persaingan antara kedua-dua calon berkenaan namun keputusan akan ditentukan oleh perwakilan.
"Dalam UMNO tidak ada had umur, sesiapa pun berhak untuk bertanding dalam pemilihan parti. Terserah kepada perwakilan sama ada mahu pilih orang lama (Ahmad Bashah) atau mahu UMNO dijelmakan oleh orang muda (Zambri) dengan kepimpinan cara muda atau mahu kembali kepada cara lama,” katanya.
Menurutnya, ketika menjadi ketua bahagian, antara fokus adalah untuk melahirkan pemimpin pelapis baharu untuk memimpin UMNO agar sentiasa segar dan relevan.