NS larang ahli politik ceramah di masjid, surau sejak 2018

Iklan
Aminuddin

SEREMBAN - Larangan terhadap ahli politik berceramah di mana-mana masjid dan surau di Negeri Sembilan sudah lama dikuatkuasakan oleh kerajaan negeri.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, arahan tersebut terpakai sejak 2018 yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Iklan
Iklan

Menurutnya, tindakan itu diambil bertujuan memastikan masjid dan surau tidak disalah guna oleh pihak tertentu selain mengelak pengisiannya bercampur aduk dengan unsur politik dan kepartian.

"Di Negeri Sembilan tak ada ahli politik yang beri ceramah di masjid, kita hormat. Kalau dahulu ada (ahli politik) yang baca khutbah namun selepas dimaklumkan tidak dibenarkan tak ada lagilah.

Iklan

"Kalau nak berceramah, buatlah ceramah umum, senang. Itu lebih selesa. Janganlah kacau (institusi masjid dan surau), pening kepala kita.

"Tindakan ini juga bagi mencegah perpecahan dalam kalangan orang Islam," katanya ketika sidang akhbar selepas selesai Mesyuarat Pasca Exco Mingguan di Wisma Negeri pada Rabu.

Iklan

Bagaimanapun, jelasnya situasi berbeza sekiranya mereka diminta menjadi imam solat berjemaah di masjid ataupun surau berikutan ia tidak membabitkan sebarang ucapan mahupun ceramah.

Media sebelum ini melaporkan, Perak melarang Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Rakyat, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di semua negeri mengambil bahagian dalam aktiviti mengajar atau bersyarah di mana-mana masjid dan surau yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Larangan itu juga terpakai terhadap mereka yang telah bersara daripada jawatan-jawatan itu tetapi masih aktif dengan kegiatan politik.

Begitu juga di Terengganu yang memaklumkan semua ahli politik termasuk ahli parlimen, ADUN serta ahli Dewan Negara dilarang memberikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau di Terengganu.

Turut dilarang ialah penyampaian khutbah Jumaat.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kebenaran terhadap penceramah luar untuk mengadakan ceramah di negeri ini, Aminuddin berkata, tiada sekatan mengenainya setakat ini.

"Kita bukan kata sekat, kita cakap bahawa tidak ada unsur ceramah politik, itu yang kita ingatkan dan kena hati-hati.

"Kita tak nak ia merosakkan institusi masjid dan agama Islam itu sendiri," katanya.