PM mahu tambah senator wanita

Iklan
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneliti untuk menambah bilangan keanggotaan Ahli Dewan Negara dalam kalangan wanita berikutan jumlah penglibatan golongan itu dalam politik masih rendah.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, ini kerana peratusan wakil wanita dalam Dewan Rakyat telah menurun daripada 14.9 peratus pada 2021 kepada 13.5 peratus pada 2022.

Iklan
Iklan

Malahan, beliau turut meminta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk meningkatkan bilangan wanita sebagai ahli lembaga pengarah yang masih pada kadar 29 peratus setakat 31 Disember lalu.

"Saya mahu semua GLC ambil perhatian, semua pelantikan baharu di GLC dan peluang-peluang kenaikan pangkat, saya mahu satu perubahan, tentunya beransur-ansur, mempunyai kelayakan tapi mesti ada peranan nyata dalam meningkatkan peranan wanita," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2023 di Dewan Perdana Felda di sini pada Rabu.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Iklan

Sementara itu, Anwar turut menegur sikap suami yang masih 'berkira' untuk memberi sumbangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada isteri menerusi inisiatif i-Sayang.

Menurutnya, i-Sayang merupakan satu inisiatif kerajaan menghargai sumbangan isteri yang membolehkan suami memindahkan dua peratus caruman KWSP syer pekerja secara sukarela ke akaun isteri.

"Saya harap semua suami terutama dalam kalangan penjawat awam (berbuat demikian). Kita akan senaraikan siapa yang enggan.

"Saya rasa kita harus meminta ketua jabatan dan GLC untuk memastikan majikan beri sumbangan," tegasnya.

Katanya, hanya amaun yang kecil yang perlu dikeluarkan seseorang suami atau bagi menghargai isteri atau ibu yang melahirkan anak-anak mereka.