SAN FRANCISCO - Ketua Pegawai Eksekutif Twitter, Elon Musk telah menunjukkan sisi berbeza dirinya selepas beliau dengan rendah hati memohon maaf kepada salah seorang pekerjanya yang tergolong sebagai orang kurang upaya (OKU).
Insiden itu berlaku selepas Haraldur Thorleifsson atau Halli yang berkerusi roda kerana masalah distrofi otot nekad menghantar ciapan kepada Musk pada Isnin.
Ketika itu, Halli berharap ia dapat menarik perhatian bilionair tersebut di laman blog mikro berkenaan setelah Jabatan Sumber Manusia Twitter gagal memberikan sebarang jawapan selama sembilan hari selepas beliau tidak lagi dapat mengakses kerjanya.
Halli dan Musk kemudiannya saling berbalas di Twitter serta perbualan mereka agak 'tegang' termasuk mempersoalkan kecacatannya sebelum dia menerima e-mel yang mengesahkan dirinya telah dipecat bersama kira-kira 200 staf lain yang turut diberhentikan baru-baru ini.
"Anda berhak untuk memberhentikan saya. Tetapi, adalah lebih baik jika perkara itu dimaklumkan kepada saya terlebih dahulu," katanya menerusi ciapan yang dihantar kepada pemilik Tesla tersebut.
Pada tengah hari Selasa, Musk bagaimanapun mengubah fikiran dan berasa kesal kerana tidak menunjukkan empati terhadap Halli.
"Saya mahu meminta maaf kepada Halli kerana salah faham tentang situasinya," katanya menerusi Twitter malah Musk turut menawarkan Halli kembali semula kepada Twitter.
Difahamkan, Halli yang menetap di Iceland dan disenaraikan sebagai Person of the Year oleh empat rangkaian media di negara berkenaan menyertai syarikat gergasi media sosial itu selepas beliau menjual agensi kreatif Ueno miliknya kepada Twitter pada 2021. - Agensi