IPOH - Seorang lelaki dan wanita dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di kawasan Kamunting, Taiping pada Selasa.
Suspek berusia 34 dan 50 tahun itu ditahan sekitar jam 11.10 malam hasil risikan dan maklumat awam.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, turut ditemui bungkusan dadah dipercayai jenis pil yaba sebanyak 14,000 biji dianggarkan seberat 1.43 kilogram.
"Nilai keseluruhan dadah dirampas dianggarkan RM280,000.
"Ujian saringan air kencing yang dijalankan pula mengesahkan wanita berkenaan positif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Mohd Yusri berkata, sindiket pengedaran dadah itu didapati mula aktif sejak September tahun lalu dengan menyasarkan penagih tempatan.
Katanya, tindakan diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita dua kenderaan jenis Proton X50 dan Proton Wira dianggarkan bernilai RM103,500.
"Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 14 Mac.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori iaitu gantung sampai mati," katanya.