KUALA KEDAH - Jenazah bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Nurul Ehsan Kubang Rotan di sini kira-kira jam 7.30 malam Rabu.
Jenazah Allahyarham Syed Razak sebelum itu dimandikan dan dikafankan di kediaman Allahyarham di Taman Aman Jaya, Zon Anggerik, Sungai Petani sebelum dibawa van jenazah pada jam 4.15 petang ke Kubang Rotan diiringi kenderaan polis.
Jenazah bekas Menteri Besar Kedah kelapan itu kemudiannya disembahyangkan kira-kira jam 6.58 petang di Masjid Nurul Ehsan Kubang Rotan sebelum dikebumikan di tanah perkuburan itu.
Isteri Allahyarham, Datin Seri Syarifah Hamidah Syed Hamid, 73, dan sanak saudara menyaksikan pengebumian itu bersama hampir 500 sahabat dan penduduk setempat.
Sementara itu, Syarifah Hamidah memaklumkan, beliau reda dengan takdir Ilahi meskipun agak terkejut dengan pemergian suami tercinta.
Beliau memaklumkan, Allahyarham suaminya tidak menunjukkan perubahan ketara dan masih mampu bangun sendiri ke bilik air selepas pulang dari hospital pada Selasa.
Menurut Syarifah Hamidah, Allahyarham kurang sihat namun tetap kuat semangat selepas diserang strok kira-kira 20 tahun lepas.
"Saya pun tak sangka yang arwah akan meninggal dunia ketika tidur. Biasanya arwah akan pergi ke hospital apabila berasa kurang sihat, namun semalam (Selasa) sudah dibenarkan pulang sebelum mengadu sakit dada kira-kira jam 3.30 pagi (Rabu)," katanya.
Syarifah Hamidah berkata, beliau membantu mengurut dada suaminya, manakala anak-anak saudara turut menemani dan membantu menjaga Allahyarham.
Allahyarham yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik tidak dikurniakan anak selepas mendirikan rumahtangga pada 1970-an.
Anak saudaranya, Sharifah Norulasyikhah Syed Mohamad, 50, berkata, beliau sememangnya tidak menyangka dengan pemergian bapa saudaranya itu memandangkan Allahyarham kelihatan masih sihat sebelum ini.
Menurut beliau, Allahyarham kelihatan dalam keadaan baik dan masih sempat menghadiri satu majlis kenduri pada Sabtu.
Disebabkan itu, katanya, beliau terkejut apabila menerima panggilan telefon yang memaklumkan tentang pemergian bapa saudaranya itu.
Sharifah Norulasyikhah menyifatkan bapa saudara seorang yang tegas, namun amat baik dan rapat dengan anak-anak saudaranya.
Beliau memaklumkan, jenazah Allahyarham bapa saudaranya dibawa pulang ke Kubang Rotan atas permintaan Allahyarham untuk disemadikan bersebelahan arwah ibunya, Eshah Mahmud dan arwah bapanya, Syed Zain Syed Ali.
Sementara itu, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menyifatkan pemergian Syed Razak merupakan kehilangan besar buat rakyat Kedah memandangkan Allahyarham adalah pemimpin yang berjiwa rakyat dan mudah didekati.
Menurut Ahmad Bashah, beliau mengenali Allahyarham Syed Razak sebelum beliau aktif dalam politik lagi, yang mana beliau ketika itu merupakan ahli perniagaan.
Ahmad Bashah memaklumkan, beliau merupakan Exco kanan ketika Allahyarham menjadi Menteri Besar pada 1999 hingga 2005,
Bagaimanapun, kata beliau, Allahyarham Syed Razak kemudiannya diserang angin ahmar, namun masih aktif dalam politik dan turut membantu kempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Allahyarham yang berusia 79 tahun meninggal dunia akibat masalah kesihatan di di Sungai Petani kira-kira jam 11 pagi Rabu.
Perkara tersebut disahkan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Syed Razak adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan dan menjadi Menteri Besar Kedah bermula 1999 sehingga 2005.
Beliau meletak jawatan Menteri Besar semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi disebabkan masalah kesihatan dan digantikan bekas Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid.