Pengecualian menteri rosakkan fungsi RoS

Iklan
Muhamad

SHAH ALAM - Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi pengecualian kepada UMNO didakwa bakal mengundang budaya baharu yang menafikan fungsi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Bekas Exco Pemuda UMNO, Datuk Muqharabbin Moktaruddin berkata, RoS tidak sepatutnya tunduk dengan desakan kerana ia adalah badan yang mengawal selia semua pertubuhan di Malaysia.

Iklan
Iklan

"Sekiranya perkara ini diluluskan, ini bermakna selepas ini, setiap parti politik dan NGO akan menggunakan pengecualian oleh menteri untuk merosakkan imej RoS itu sendiri," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau menegaskan, Perlembagaan Persekutuan adalah sebuah entiti yang menjunjung tinggi keluhuran dan kebenaran.

Iklan

"Tidak bermakna Perlembagaan Persekutuan bahawa parti politik boleh melanggar perlembagaan parti sendiri. Sebab itu, kita ada RoS untuk kawal selia setiap pertubuhan.

"Takkan kita tak faham akta dan perlembagaan. Kalau begitu lebih baik tidak perlu ada RoS dan setiap parti buatlah undang-undang sesuka hati lepas ni," katanya.

Iklan

Pada masa sama, Muqharabbin memuji keputusan RoS yang membuat keputusan supaya UMNO membuat pembetulan dan meminta agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan.

Ia susulan satu surat dengan kepala surat (letterhead) RoS itu didakwa diutuskan kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada 2 Mac lalu.

Surat berkenaan memaklumkan, RoS telah meneliti secara terperinci permohonan pindaan Usul Tambahan (Usul Kelapan) ke atas Usul Ucapan Dasar Presiden UMNO di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 yang menetapkan dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan dengan mengambil kira dasar UMNO yang berkuat kuasa.

Ia dikatakan bercanggah dengan keputusan KDN yang memutuskan untuk memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) kepada UMNO berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya merujuk kepada Perlembagaan dan Peraturan-Peraturan Persidangan Umno mengenai usul tambahan berkenaan dan memberi pengecualian berdasarkan Seksyen 70 Akta 832.

Dalam pada itu, Muqharabbin menawarkan diri bertanding Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

"MKT adalah tempat paling sesuai untuk saya menyuarakan dan memberi undi penting sekiranya parti ingin membuat sesuatu keputusan," katanya.