AKSI derbi utara pusingan satu Piala FA 2023 menjadi milik Penang FC apabila berjaya menyingkirkan Kedah Darul Aman (KDA) FC menerusi sepakan penalti 4-3 selepas terikat 2-2 pada masa sebenar di Stadium Darul Aman pada malam Rabu.
Kekalahan itu adalah yang kedua berturut-turut dicatatkan Sang Kenari selepas tewas kepada PDRM FC 0-1 di saingan Liga Super 2023 pada Sabtu lalu juga di Alor Setar.
Pada perlawanan itu, ketua pasukan tuan rumah, Manuel Ott berjaya meletakkan KDA FC di hadapan 1-0 seawal minit ke-8 selepas memanfaatkan bola yang lemah dikeluarkan oleh pertahanan Penang FC, Rafael Vitor.
Jaringan tersebut menyemarakkan semangat tuan rumah untuk memburu tambahan gol menerusi William Lira, namun lorongan cantik Ott gagal dimanfaatkan oleh penyerang dari Brazil itu untuk menterjemahkan kepada gol pada minit ke-12.
Bagaimanapun, Giovane Da Silva membantu Penang FC mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-21 selepas menolak masuk bola yang gagal dikeluarkan penjaga gol KDA FC, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi yang terlebih dahulu menepis percubaan Hassan Saad.
Terkejut dengan jaringan tersebut, KDA FC kembali menyusun permainan namun percubaan lemah Manuel Hidalgo pada minit ke-36 tepat ke dada penjaga gol Penang FC, Shafiq Afifi Suhaimi.
Sang Kenari terus menggandakan asakan memburu jaringan namun percubaan Lira pada minit ke-49 dan 52 berjaya ditepis penjaga gol lawan dan terkena palang gol.
Penang FC yang dilihat lama bertahan kemudiannya melakukan kejutan apabila berada di hadapan 1-2 pada minit ke-67 hasil jaringan Hassan dari sudut sukar selepas menerima hantaran dari Asnan Ahmad.
KDA FC yang menerima sokongan 13,768 penonton berjaya menyemarakkan semangat pasukan tuan rumah apabila Hidalgo berjaya menjaringkan gol pada minit ke-82 namun dibatalkan kerana dikesan ofsaid oleh penjaga garisan.
Kesungguhan yang dipamerkan oleh Sang Kenari akhirnya membuahkan hasil apabila Ott menjaringkan gol penyamaan 2-2 hasil percubaan cantik dari luar kotak penalti untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Kedua-dua pasukan yang beraksi dalam tempoh 30 minit berjaya berbalas asakan namun masih buntu untuk mencari gol sebelum terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti selepas tamat masa tambahan.