Boleh berkarya di media sosial, cuma jangan sentuh sensitiviti 3R

Iklan
Fahmi berucap pada Majlis KNKV Viral Awards pada malam Rabu. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak pernah menghalang kebebasan orang ramai untuk berkarya dan mengekspresikan diri melalui kandungan kreatif di platform media sosial selagi ia tidak menyentuh sensitiviti berkaitan 3R iaitu rasce (bangsa), religion (agama) dan royalty (raja).

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, walaupun begitu, pihaknya dengan kerjasama penyedia platform media sosial terus melakukan pemantauan bagi memastikan kandungan yang menyentuh 3R tidak tersebar.

Iklan
Iklan

"Dalam bab keselamatan awam, sekiranya berlaku kacau ganggu dalam khalayak ramai atau ada masalah sebaran ajaran sesat, ekstremisme militan dan keganasan memang kerajaan akan ambil tindakan yang pantas.

"Di Malaysia, kita tidak menghalang orang untuk berkarya, berekspresi atau bersuara tetapi kita ada undang-undang, adab serta budaya... Penting untuk kita ingat walaupun kita ada hak untuk bersuara, tetapi kita tidak ada hak untuk menyebar fitnah dan maklumat palsu," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan KNKV Viral Award dan majlis penjenamaan semula KNKV Group di sini pada Rabu.

Sementara itu, Fahmi berkata, pihaknya terutamanya Suruhanjaya Komunikasi dan Mulitmedia Malaysia (MCMC) tidak selalunya meminta penyedia platform media sosial untuk menurunkan sesuatu kandungan, kecuali jika ia mendapat aduan orang ramai atau dikesan menyentuh mengenai 3R.

Iklan

"Hampir 95 peratus daripada kandungan jika diturunkan adalah disebabkan pembuat kandungan itu melanggar panduan komuniti (yang ditetapkan penyedia platform). Malah, jika berlaku berulang kali, platform itu sendiri akan menutup akaun tersebut,” katanya. - Bernama