'Selamatkan diri terlebih dahulu'

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil dari kiri: Hushim, Azmir

SHAH ALAM - Isteri tidak sepatutnya taat kepada suami secara semberono setelah menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Peguam syarie, Azmir Zakaria berkata, wanita yang menjadi mangsa perlu menyelamatkan diri terlebih dahulu kerana ia adalah keutamaan dalam syariat Islam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, isteri perlu mencari tempat perlindungan yang dijamin selamat daripada menjadi mangsa dera atau pukul.

"Mereka sepatutnya melindungi diri mereka dulu. Kadang-kadang dia salah faham istilah taat kepada suami. Dia takut bila keluar rumah dianggap nusyuz dan sebagainya. Ini salah faham yang amat ketara.

Iklan

"Dalam Islam, menjaga nyawa adalah keutamaan. Jadi, dia boleh lari pergi rumah keluarga terdekat atau kawan yang boleh dipercayai sementara tunggu kes selesai. Jangan hanya tunggu di rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah beliau, dari sudut undang-undang syariah pula, mangsa boleh menuntut fasakh bagi membubarkan perkahwinan atas alasan penderaan yang dilakukan suami.

Iklan

Jelasnya, pada masa sama, isteri juga boleh membuat permohonan interim supaya suami tidak lagi mengganggu, mendekati mangsa atau keluarga sementara kes tersebut selesai.

"Perintah interim ini bersifat tegahan semata-mata, jadi, kalau si suami masih lagi mendekati isteri dan langgar perintah itu, baru boleh ada tindakan selanjutnya iaitu menghina mahkamah,” ujarnya.

Sementara itu, Perunding Motivasi dan Kaunseling, Hushim Salleh berkata, kes melibatkan penganiayaan terhadap wanita dan keganasan rumah tangga semakin berleluasa disebabkan ramai isteri tidak melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa sama ada Polis Diraja Malaysia atau Jabatan Agama Islam.

Jelasnya, ini kerana golongan isteri yang didera tersebut lebih mementingkan perihal keluarga dan anak-anak berbanding keselamatan diri sendiri.

Menurutnya, ia menyebabkan pemangsa akan berterusan mendera atau memukul oleh kerana tiada tindakan susulan yang diambil.

"Sepanjang pemerhatian saya menjadi pakar motivasi dalam mengendalikan kes ini, terdapat beberapa punca yang dapat dikesan antaranya adalah suami tertekan kerana tidak bekerja yang menyebabkan tiada duit untuk sara keluarga.

"Sebab lain yang paling popular adalah suami mempunyai perempuan lain,” jelas beliau.