Dua isu tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Iklan
Dewan Rakyat.

KUALA LUMPUR - Persoalan mengenai rancangan jangka panjang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), untuk mengatasi harga tambang penerbangan yang terlalu tinggi antara Semenanjung dan Sabah, merupakan antara perkara yang akan dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, perkara itu dibangkitkan oleh Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) kepada Menteri Pengangkutan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT).

Iklan
Iklan

Pada sesi itu juga, Yuneswaran A/L Ramaraj (PH-Segamat) meminta Menteri Ekonomi menyatakan bagaimana Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), dapat membantu isi rumah B40 dan miskin tegar menjana pendapatan dan peranan Kementerian Ekonomi untuk memastikan 100,000 miskin tegar dapat terlibat dalam inisiatif ini.

Pada sesi jawab lisan, William Leong Jee Keen (PH-Selayang) meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan, sama ada kerajaan bercadang melaksanakan skim pencen warga emas untuk rakyat berumur 65 tahun ke atas, yang tidak menerima pencen kerajaan ataupun Perkeso.

Iklan

Selain itu, Sanisvara Nethaji Rayer A/L Rajaji (PH-Jelutong) pula meminta Menteri Kewangan menyatakan adakah Kerajaan Perpaduan, akan memperkenalkan semula cukai GST yang telah membebankan rakyat sebelum ini.

Selesai sesi itu, persidangan Dewan Rakyat akan diteruskan dengan penggulungan hari terakhir Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di peringkat dasar.

Iklan

Persidangan kali ini berlangsung selama 31 hari sehingga 4 April. - Bernama