KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Pas konsisten serta tegas dengan pendirian bahawa amalan rasuah wajib ditolak dalam segenap urusan sama ada pentadbiran kerajaan mahu pun organisasi kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam.
Ketua Penerangan Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, parti itu menyambut baik kenyataan dan ketegasan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sebelum ini menyebut Pas dan Perikatan Nasional (PN) bersedia bila-bila masa untuk sebarang siasatan sekiranya ada dakwaan ke atas mana-mana pemimpin dengan syarat wajib bersikap adil dan tidak pendakwaan terpilih.
Iklan
Iklan
"Pas mengharapkan agar kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) yang kononnya mahu mereformasi sistem perundangan negara agar tidak mengamalkan pendakwaan terpilih dan pilih kasih dalam setiap penyiasatan dan pendakwaan.
"Pas yakin tindakan terdesak kerajaan PH-BN terkini yang melaksanakan penyiasatan dan pendakwaan terpilih serta pilih kasih kerana ketakutan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN)," kata beliau dalam kenyataan pada Rabu.
Khairil yang juga Ahli Parlimen Jerantut itu memberitahu, ia akan diterjemah oleh penolakan rakyat kepada PH-BN dalam PRN di Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.