KUALA LUMPUR - Seramai lima individu termasuk seorang wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pecah masuk sebuah klinik di Jalan Sentul, di sini pada 23 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya telah menerima laporan berkaitan kes itu daripada seorang wanita berusia 38 tahun yang juga kerani di klinik berkenaan pada jam 10.37 pagi.
Beliau berkata, kesemua suspek berusia 22 hingga 32 tahun itu ditahan secara berasingan di Sentul dan Sri Damansara, Selangor, pada jam 1.30 petang, Rabu lalu.
"Susulan tangkapan itu, kita merampas dua sepana, dua kereta, enam telefon bimbit pelbagai jenama serta pelbagai jenis peralatan klinik dan ubat-ubatan," katanya.
Eng Lai berkata, hasil siasatan awal mendapati modus operandi kegiatan jenayah itu didalangi dua lelaki yang diketuai oleh suspek yang dikenali sebagai Adem berumur 31 tahun.
"Sindiket ini mensasarkan klinik yang tidak beroperasi pada waktu malam dan melakukan samun secara berkumpulan dengan menggunakan senjata.
"Tiga suspek yang ditangkap mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau, manakala dua orang lagi tiada rekod jenayah,' katanya.
Menurutnya, kesemua suspek direman selama sembilan hari bermula Khamis lalu hingga esok bagi membantu siasatan.
"Polis Kuala Lumpur telah berjaya menyelesaikan 11 kes pecah klinik yang dilaporkan di sekitar ibu kota dan 11 lagi kes di sekitar Selangor serta dua kes di Pahang.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.