JOHOR BAHRU - Tugas dan operasi harian polis Johor tidak terjejas biarpun dua balai polis dilaporkan terjejas dalam bencana banjir di negeri ini.
Balai polis yang terjejas adalah Balai Polis Chaah di Segamat dan Balai Polis Panchor serta Pondok Lenga masing-masing di Muar.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua balai serta pondok polis berkenaan ditutup buat sementara bagi tujuan penilaian terhadap jumlah kerugian yang dialami.
"Kita tutup dahulu buat sementara operasi di balai dan pondok tersebut, lagi pun ketika ini infrastruktur Balai Polis Chaah masih banyak yang rosak dan sumber elektrik telah dipotong.
"Selan itu, Balai Polis Panchor turut dihentikan sementara operasinya kerana masih ditenggelami air," katanya selepas menyempurnakan Majlis Bantuan Misi Pasca Banjir Polis Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Khamis.
Difahamkan, seramai 150 pegawai dan anggota polis Kontinjen Johor menyertai misi tersebut yang bertujuan membantu membersihkan perumahan polis dan penduduk terjejas di daerah Kluang.
Misi tersebut juga akan diperluaskan ke daerah-daerah lain selepas ini secara berperingkat.
Tambah Kamarul Zaman, pihaknya masih belum mengetahui mengenai anggaran kerugian terhadap kedua-dua balai serta pondok polis berkenaan.
Bagaimanapun katanya, pihak Jabatan Logistik dan Teknologi sudah turun ke lokasi seperti di Balai Polis Chaah bagi tujuan membuat penilaian terhadap kerugian yang dialami.
"Belum ada nilai anggaran kerugian lagi, tetapi kita harap ia (anggaran) dapat dipercepatkan kerana banyak kerosakan yang berlaku seperti stor senjata api yang tenggelam, lokap dan tandas.
"Namun operasi harian tidak terganggu kerana anggota kita tidak terjejas, jadi mereka masih bekerja kerana kita ada alternatif lain.
"Yang penting, kita perlu menjaga keselamatan rumah-rumah yang ditinggalkan ketika banjir, kita perlu pastikan jalan-jalan yang ditutup tidak diceroboh, maka mereka masih perlu bertugas," katanya.