BATU PAHAT - [DIKEMAS KINI] Situasi banjir di Sri Gading, Parit Raja dan Ayer Hitam di sini semakin buruk apabila 16 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka ditenggelami air bah sejak Rabu.
Pegawai Daerah Batu Pahat, Nasri Md Ali berkata, keadaan banjir di kawasan terbabit dijangka lebih buruk susulan laporan teknikal dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Menurutnya, berdasarkan laporan fenomena air pasang besar dijangka melanda sehingga Ahad ini.
"Seramai 1,000 mangsa yang berada di 15 PPS yang ditenggelami air dipindahkan ke kolej komuniti dan kolej kediaman Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
"Belum pernah ketika banjir sebelum ini PPS ditutup. Keadaan PPS ini memberi kesan kepada pengurusan bencana di peringkat daerah kerana kita perlukan lokasi pemindahan baharu dengan segera," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Kolej Kediaman Perwira UTHM, Parit Sempadan Laut, Parit Raja pada Khamis.
Nasri berkata, 16 PPS yang ditenggelami bah adalah PPS Parit Jambol Laut, Parit Sempadan Laut, Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Yong Peng, SK Seri Utama, SJKC Sulong, Parit Sulong, SK Seri Comel dan SK Seri Sejati.
"Turut dinaiki bah adalah PPS Sekolah Agama Kampung Jawa, SK Parit Ju, SK Seri Tanjon, Sekolah Agama Seri Comel, Dewan Terbuka Sri Medan, Masjid Kampung Selulun, SK Bindu dan SK Tanjung Sembrong," katanya.
Dalam pada itu, menurutnya, terdapat 11 masjid dan surau di daerah ini dijadikan sebagai PPS bagi menempatkan mangsa banjir yang terjejas.
"Kami menjunjung kasih terhadap keprihatinan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang menitahkan supaya masjid dan surau di daerah ini dijadikan PPS.
"Terdapat 11 masjid dan surau di daerah ini diluluskan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan diperkenankan Sultan Ibrahim sebagai PPS," katanya.