ALOR SETAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah sedang merancang untuk melaksanakan Menu Rahmah di bazar Ramadan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, walau bagaimanapun perbincangan bersama peniaga dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu dilakukan terlebih dahulu.
Menurut beliau, ia bagi mencari mekanisme terbaik supaya pelaksanaan program terbabit memberi manfaat kepada semua pihak.
"Saya percaya rakyat khususnya peniaga telah membuka mata berkenaan Menu Rahmah ini dan Insya-ALLAH kita akan dapat kerjasama terbaik," katanya kepada media selepas merasmikan Program Jualan Rahmah Pra Ramadan yang diadakan di Kompleks Belia dan Sukan, Alor Setar.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti, Datuk Zamri Yusuf.
Sementara itu, Affendi berkata, sebanyak 200 premis makanan di Kedah dijangka menawarkan Menu Rahmah menjelang Ramadan pada 23 Mac ini.
Tambah beliau, setakat ini jumlah premis makanan yang menyediakan menu berkenaan telah mencapai sasaran awal iaitu sebanyak 150 premis.
"Diharapkan ia mampu mencapai 200 premis dapat menyediakan Menu Rahmah di seluruh Kedah bagi membantu golongan memerlukan," katanya.
Affendi berkata, pada program terbabit, dianggarkan lebih 150 individu berpeluang untuk mendapatkan 16 jenis barangan yang ditawarkan pada harga murah antaranya ayam mentah, telur, tepung, gula dan beras.
"Kita berharap program ini dapat dilaksanakan di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan masyarakat setempat dapat membeli barangan pada harga yang murah, jadi kita akan bekerjasama dan berbincang dengan ADUN," katanya.