IPOH - Pas Perak menyifatkan tindakan menangkap pimpinan politik pembangkang dan menghadapkan mereka atas tuduhan yang direka cipta sebagai politik tidak bertamadun.
Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, tindakan menekan badan penguat kuasa agar menerima tuduhan, mencari serta mencipta apa sahaja kesalahan disifatkan sebagai tidak betul.
"Tindakan ini bercanggah dengan kebebasan hak asasi manusia yang menjadi slogan PH (Pakatan Harapan) ketika pembangkang. Hak asasi manusia kini hanya bersifat kebebasan yang melampaui teras dan prinsip Islam, namun tidak untuk suara kebenaran menegur kerajaan.
"Suara-suara rasis terhadap Melayu dan Islam seperti mendapat perlindungan sebaliknya kebebasan mengkritik kerajaan dipasung dan dipenjarakan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Razman berkata, Pas Perak menyeru kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar bersifat matang dan menumpukan usaha membangunkan negara.
Jelasnya, fokus utama kerajaan harus diberikan kepada usaha menyemai perpaduan, meningkatkan ekonomi, membantu rakyat yang tertekan dengan kos sara hidup serta kejatuhan mata wang negara.
Menurutnya, segala tindakan zalim dan menekan suara rakyat hanya akan meningkatkan suhu politik negara yang sememangnya sudah tidak menentu.
"Serahkan tugas penguatkuasaan kepada pihak berkuasa yang sedia ada. Berikan kepada mereka kebebasan seluasnya, bukan dengan menyerahkan apa yang dikehendaki pemerintah untuk mereka mencari atau mencipta bukti terhadap musuh politik.
"Rakyat sedang memerhati situasi yang berlaku, begitu juga ahli Parlimen dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), masing-masing mempunyai aspirasi perjuangan politik yang bersama kebangkitan rakyat," katanya.
Razman berkata, perubahan politik boleh berlaku pada bila-bila masa melalui jalan demokrasi yang terbuka dan jangan jadikan politik balas dendam sebagai bayangan perjalanan politik terhadap kekecewaan lampau.
Menurut ADUN Gunung Semanggol itu, Pas Perak akan terus memaksimumkan ruang demokrasi yang ada demi mendaulatkan Islam dan kestabilan politik untuk kesejahteraan rakyat.