BENTONG - Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Batu 2, Jalan Lama Kuala Lumpur - Kuantan dekat Karak di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitendan Zaiham Mohd Kahar memberitahu, mangsa, B Rajasekaran, 38, meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 7.40 malam itu, hasil siasatan mendapati kereta yang dipandu wanita berusia 25 tahun itu dalam perjalanan dari pekan Karak menuju ke Kampung Sempadan di Lanchang.
"Penunggang motosikal yang dipandu lelaki itu pula dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Sri Makmur.
Tambah Zaiham, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
"Pemandu dan penumpang kereta itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan," jelas beliau.
Jelas Zaiham, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.
Dalam pada itu, beliau meminta kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan