LEGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menyifatkan dirinya sebagai insan yang cukup bertuah apabila memiliki Datin Wong Mew Choo sebagai teman hidupnya.
Malah tanpa berselindung Chong Wei berkata,"Saya melihat video ini, dan tiba-tiba hati saya luluh dan menangis.
"Apa lagi yang saya perlukan dalam hidup ini apabila saya memiliki wanita ini? terima kasih Mew Choo. Saya hanya lelaki yang paling bertuah dalam dunia ini.”
Pemenang pingat perak di tiga temasya Sukan Olimpik - 2008 Beijing 2008, London 2012 dan Rio de Janeiro 2016 sebelum itu di Facebooknya memuat naik hantaran diterima daripada seorang individu mengenai isterinya yang juga bekas pemain perseorangan wanita negara sempena Hari Wanita Sedunia pada Rabu.
Hantaran itu menyaksikan Mew Choo menitiskan air mata ketika pemenang perak tiga Kejohanan Dunia, London 2011, Guangzhou 2013, Copenhagen 2014 dan Jakarta 2015 tersebut berkongsi pengalaman sukar dilalui sepanjang kariernya di majlis pelancaran patung lilin dirinya di ibu negara minggu lalu.
Chong Wei di laman media sosialnya menitipkan bagaimana hatinya luluh dan turut menitiskan air mata selain amat bersyukur atas kehadiran Mew Choo dalam kehidupannya.
"Ada seseorang merakamkan video secara rahsia dan menghantar klip berkenaan kepada saya. Ini adalah video mengenai dirinya (Mew Choo), ketika saya sedang berkongsi mengenai detik paling sukar dalam karier saya.
"Sayang kamu 10,000 tahun. Kepada semua wanita di seluruh dunia, selamat menyambut Hari Wanita Sedunia,” kata bekas pemain perseorangan nombor satu negara itu yang turut memuji tindakan anaknya, Terrance yang menenangkan Mew Choo.