Banjir: 500 anggota keselamatan siap sedia digerakkan

Iklan
Keadaan laluan masuk Kampung Baru Parit Raja yang dinaiki air. Gambar kecil: Ismail

BATU PAHAT - Seramai 500 anggota keselamatan diletakkan dalam keadaan bersiap sedia bertugas pada bila bila masa sekiranya banjir di daerah ini terutama Sri Gading, Ayer Hitam dan Parit Raja semakin buruk.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, keadaan banjir yang masih menunjukkan trend meningkat memerlukan anggota keselamatan bersedia untuk memindahkan penduduk ke tempat yang selamat.

Iklan
Iklan

"Polis dan bomba masih lagi menerima panggilan mangsa banjir terperangkap di Batu Pahat. Kita berikan tumpuan dan ambil serius setiap panggilan dengan menghantar anggota keselamatan untuk bantu keluarkan mereka yang terperangkap.

"Dalam masa yang sama, anggota keselamatan turut memberikan tumpuan kepada pemindahan mangsa banjir di PPS yang dinaiki air. Pada Rabu, kita pindahkan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Bindu yang dinaiki air ke tempat yang selamat," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu mengadakan tinjauan Kolej Kediaman Perwira Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) di Parit Raja Batu Pahat pada Khamis.

Beliau memberitahu, operasi memindahkan penduduk terjejas banjir di Sri Gading, Parit Raja dan Ayer Hitam lebih mudah memandangkan penduduk mengambil keputusan keluar awal sebelum air banjir naik mendadak.

Iklan

"Penduduk di kawasan rendah perlu mengambil iktibar kejadian banjir yang berlaku di Batu Pahat sebelum ini.

"Amaran awal yang diberikan seharusnya membuatkan penduduk lebih peka untuk bersedia berpindah ke PPS," katanya.