Op Tiris: 93,740 liter diesel diseleweng dirampas

Iklan
Aris (dua dari kanan) melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan yang keluar dari Malaysia di ICQS Pengkalan Hulu pada Khamis.

GERIK - Sebanyak 21 kes ketirisan subsidi diesel berjaya dikesan melibatkan nilai rampasan RM283,375 sepanjang tujuh hari Op Tiris dilaksanakan bermula 1 Mac lalu di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Aris Mamat berkata, rampasan itu membabitkan 93,740 liter minyak diesel hasil pemeriksaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setakat ini, Sarawak merekodkan aduan tertinggi kes ketirisan iaitu lima kes diikuti Negeri Sembilan (4).

"Kes yang kita kesan ini berlaku di banyak peringkat termasuk di stesen minyak dan pemborong.

Iklan

"Mereka menggunakan kenderaan biasa seperti kereta, lori dan kepala lori untuk mengisi dan menyimpan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas melakukan pemeriksaan khas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Hulu di sini pada Khamis.

Iklan

Aris berkata, sepanjang Op Tiris ini, KPDN telah menjalankan 168 pemeriksaan di semua sektor melibatkan 178 pegawai.

Katanya, rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan termasuk di kawasan bersempadanan seperti di Perak, Kelantan dan Kedah bagi memastikan pelaksanaan subsidi bahan api sampai kepada pihak sepatutnya.

"Pemeriksaan yang kita lakukan hari ini (Khamis) untuk melihat sama ada berlaku kes kenderaan yang keluar dari Malaysia membawa barang-barang terkawal seperti minyak diesel ini," katanya.

Operasi berkenaan dilancarkan selama tempoh enam bulan sehingga 31 Ogos depan bagi menangani isu ketirisan subsidi hampir RM10 bilion seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023.