Johor salur RM300 kepada keluarga terjejas banjir

Iklan
Tian Soon (tengah) ketika siaran langsung di Facebook Live pada Khamis.

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor bersetuju memberikan bantuan wang tunai RM300 kepada setiap keluarga yang terjejas akibat banjir bagi mengurangkan beban mereka.

Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri, Ling Tian Soon berkata, kesemua mangsa banjir sama ada di pusat pemindahan sementara (PPS) atau tidak, layak untuk menerima bantuan wang tunai berkenaan.

Iklan
Iklan

"Setelah berbincang dan mendapat persetujuan daripada Menteri Besar, kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan bantuan RM300 kepada setiap keluarga yang terjejas akibat banjir di Johor.

"Bantuan ini bukan sahaja akan diberikan kepada mereka yang berdaftar dan berada di PPS, tetapi turut melibatkan mereka yang tidak berada di PPS kerana mungkin berpindah ke rumah saudara mara ketika banjir kali ini," katanya menerusi siaran langsung di Facebook Live pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Ngeri, Khairin Nisa Ismail dan Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri, Norlizah Noh.

Mengulas lanjut katanya, mereka yang tidak berada di PPS perlu membuat pendaftaran melalui ketua kampung atau ketua masyarakat di kawasan masing-masing dengan mengisi borang khas.

Iklan

Jelasnya, borang yang telah diisi akan diserahkan kepada pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) untuk tindakan selanjutnya.

Untuk rekod, kesemua borang-borang pendaftaran berkenaan telah pun diedarkan oleh pihak Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, Datuk Zahari Sarip kepada ketua-ketua kampung dan masyarakat.

Sementara itu Tian Soon berkata, pihaknya juga masih menunggu pengumuman rasmi daripada Agensi Pengurusan Bencana (Nadma) berhubung bantuan yang akan disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir di Johor.

"Kita belum dapat pengumuman rasmi daripada Nadma tapi kita akan kutip data dan bawa ke pihak atasan untuk proses seterusnya,” katanya.