KEMAMAN - Dua motosikal disita atas kesalahan mengubahsuai kenderaan dalam operasi dijalankan berhampiran tempat letak kereta di pusat beli-belah di bandar Chukai pada petang Rabu.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kesalahan itu dikesan hasil pemeriksaan dijalankan ke atas 150 buah kenderaan di lokasi sekatan jalan raya (SJR) dalam Ops 370.
Beliau berkata, sebanyak 55 saman juga dikeluarkan merangkumi pelbagai kesalahan jalan raya selepas pemeriksaan dilakukan ke atas 100 buah motosikal dan 50 buah kereta.
"Seramai 150 individu pula telah diperiksa dalam operasi berkenaan. Antara kesalahan paling banyak di kesan adalah menunggang motosikal dengan lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.
"Selain itu terdapat juga kesalahan seperti ubah suai ekzos, aksesori tidak sempurna, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan dan tidak memakai tali pinggang keledar," katanya kepada Sinar Harian, di sini, pada Khamis.
Operasi selama satu jam bermula jam 5 petang itu disertai dua orang pegawai dan sembilan anggota termasuk tiga anggota sukarelawan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
"Antara kesalahan paling banyak di kesan ialah penunggang motorsikal yang lesen memandu dan cukai jalannya telah tamat tempoh.
"Selain itu terdapat juga kesalahan seperti aksesori tidak sempurna, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan dan tidak memakai tali pinggang keledar," ujar beliau.
Dalam pada itu Hanyan berkata, sebanyak 64,352 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan polis Kemaman sepanjang tahun lalu.
"Ia melibatkan kesalahan tiada lesen (1,508 kes), tidak memakai topi keledar (861 kes), tidak patuh lampu isyarat (613 kes) dan tidak memakai tali panggang keledar (325 kes).
"Saman akibat kemalangan pula sebanyak 1,382 kes. Jumlah kematian akibat kemalangan tahun lalu sebanyak 38 kes dengan sebanyak RM760,250 berjaya dikutip," katanya.
Ujar Hanyan, pihak polis akan melakukan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi mendidik masyarakat khususnya pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang ditetapkan.