Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

Iklan
Ringgit ditutup tinggi hari ini berbanding dolar AS. - Foto 123RF

RINGGIT ditutup tinggi hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selepas Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.

Pada jam 6 petang, unit tempatan naik kepada 4.5170/5200 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.5230/5265 pada Rabu.

Iklan
Iklan

Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit terus kekal dalam julat sempit dengan sedikit peningkatan yang dilihat pada sepanjang hari.

"Ia jelas menunjukkan bahawa keputusan BNM untuk mengekalkan OPR pada 2.75 peratus adalah menepati jangkaan. Sehubungan itu, ia tidak menjejaskan ringgit kerana tiada unsur kejutan (kenaikan OPR)," katanya kepada Bernama.

Iklan

Beliau berkata, kini pasaran akan tertumpu kepada data senarai gaji bukan ladang (NFP) Amerika Syarikat (AS) pada malam Jumaat dan data Indeks Harga Pengguna (CPI) AS minggu depan sebelum mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) berlangsung pada 21 hingga 22 Mac.

Ringgit diniagakan kebanyakannya berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Iklan

Unit tempatan jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.3160/3184 daripada 3.2880/2908 ketika ditutup pada Rabu dan berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.3608/3643 daripada 5.3530/3571 sebelumnya dan merosot berbanding euro kepada 4.7690/7722 daripada 4.7650/7687.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean.

Ringgit turun berbanding baht Thai kepada 12.8814/8962 daripada 12.8912/9070 dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 292.70/292.90 daripada 292.90/293.30. - Bernama