Projek Bandar Saujana Putra sedia 20,000 peluang pekerjaan

Iklan
Muhammad Sanusi (tiga dari kanan) selepas menyempurnakan gimik perasmian Majlis Pecah Tanah Projek Bandar Saujana Putra di Amanjaya Mall, Sungai Petani pada Khamis.

PROJEK Bandar Saujana Putra yang akan dibangunkan di sini secara usaha sama antara Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dengan Oriental Interest Berhad (OIB) dijangka memberi impak positif terutamanya menyediakan 20,000 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, projek yang mengambil masa selama 10 tahun keseluruhan untuk dibangunkan itu membabitkan jangkaan nilai pembangunan kasar sebanyak RM2.5 bilion.

Iklan
Iklan

"Kerajaan negeri menyokong sebarang bentuk kerjasama antara pihak awam dengan swasta membangunkan kawasan baharu di negeri ini demi kesejahteraan dan kemakmuran ekonomi rakyat sebagaimana dibuktikan OIB dan PKNK," katanya semasa perasmian Majlis Pecah Tanah Projek Bandar Saujana Putra di Amanjaya Mall, dekat sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengerusi OIB, Tunku Mohamad Zulkifli Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNK, Datuk Syed Yussof Syed Othman.

Iklan
Muhammad Sanusi (empat dari kanan) pada Majlis Pecah Tanah Projek Bandar Saujana Putra.

Sementara itu, Tunku Mohamad Zulkifli Osman berkata, komponen utama pembangunan projek ini membabitkan 40 peratus pembangunan perumahan manakala 60 peratus pembangunan adalah membabitkan lot-lot industri dan perniagaan.

"Projek Usahasama Bandar Saujana Putra ini diusahakan di atas tanah milik PKNK seluas 484.12 hektar atau 1,200 ekar dan 200 ekar pula adalah hakmilik OIB," katanya dalam ucapan.

Iklan

Syed Yussof pula berkata, pembangunan fizikal akan bermula pada suku tahun kedua 2024 dan siap sepenuhnya pada suku tahun keempat 2032.

Menurutnya, bagi komponen kediaman, sebanyak 5,400 buah rumah bakal dibina merangkumi Rumah Kasih Rakyat iaitu 1,100 unit, Rumah Makmur Kedah (664 unit), Rumah Aman Kedah (500 unit), Rumah Teres Setingkat (1,855 unit) dan Rumah Berkembar Setingkat (1,318 unit).

"Kediaman ini menggabungkan reka bentuk moden dan elegan ini bakal menjadi pilihan terbaik kepada penduduk sekitar untuk membeli rumah dengan harga mampu milik.

"Komponen industri pula akan menawarkan 230 lot tanah industri berkonsepkan taman perindustrian yang lengkap dengan prasarana asas, sistem kawalan keselamatan, kafeteria, pusat riadah dan dewan serbaguna serta Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ)," katanya dalam ucapan.