PMKS kena tingkat usaha pendigitalan - SIRIM

Iklan
Ahmad Sabirin - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan digesa untuk meningkatkan usaha pendigitalan bagi menjamin kemampanan dan daya tahan industri dalam menghadapi cabaran perniagaan pada masa hadapan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad (SIRIM), Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, gesaan itu dibuat berdasarkan kepada jangkaan, yang mana, menjelang 2035, dunia akan tertumpu kepada penggunaan Internet Pelbagai Perkara (IOT), blok rantai dan kecerdasan buatan (AI).

Iklan
Iklan

"Kita kena faham dalam setiap aspek perniagaan pada masa akan datang, segala-galanya akan bergantung kepada AI serta setiap keputusan yang kita buat akan tertakluk kepada data dan bukan lagi pengalaman atau naluri tetapi sains dan perangkaan.

"Sains dan data juga akan menunjukkan kepada mereka bahawa ini arah tuju dan ini yang patut mereka buat untuk syarikat... mahu tak mahu kalau kita kena berubah atau kita akan tertinggal, kita perlu pastikan PMKS kita berkembang,” katanya kepada Bernama.

Iklan

Bagi membantu PMKS terus kekal berdaya saing dalam menangani cabaran berkenaan, SIRIM akan menumpukan kepada"Frontier Technology” iaitu pembudayaan teknologi masa hadapan dalam operasi PMKS termasuk penerapan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

"Berkenaan ESG ini, kita nak PMKS gunakan segala nilai dan prosedur operasi standard (SOP) yang baik supaya produk yang dihasilkan itu dapat menembusi pasaran antarabangsa memandangkan skop pasaran dalam negara kita terhad iaitu lebih kurang 30 juta penduduk sahaja,” katanya.

Iklan

PMKS juga perlu lebih terbuka untuk beradaptasi bagi mendigitalkan perusahaan mereka dalam konteks penggunaan modal dan tidak sewajarnya bergantung kepada pemberian geran oleh kerajaan.

"PMKS mesti ada satu fokus yang dia perlu berdaya saing tanpa geran, selagi ada mentaliti geran, dia tidak mampu maju ke depan. Kalau dia mahu mengembangkan perniagaan, perusahaan ini perlu meminjam daripada bank, baru pengusaha bersemangat untuk majukan perniagaan,” katanya.

SIRIM Berhad merupakan anak syarikat kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta menjadi organisasi peneraju bagi penyelesaian teknologi dan kualiti yang memberikan tumpuan kepada penyelidikan perindustrian, latihan penyelidikan termasuk pembangunan standard industri serta keusahawanan berasaskan teknologi. - Bernama