SETIAP pasukan perlu mengambil peluang tawaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menukar rumput stadium di setiap negeri kepada padang rumput jenis Zeon Zoysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, tawaran KBS itu adalah satu langkah tepat dalam usaha menyediakan lebih banyak padang berkualiti, sekali gus meningkatkan mutu bola sepak negara.
Menurutnya, Selangor FC juga sudah mengambil tindakan proaktif untuk berhubung dengan kerajaan negeri bagi mengenal pasti stadium yang boleh dinaik taraf di negeri itu.
"Bagi saya, ia satu inisiatif baik untuk naik taraf padang stadium negeri dan ia satu peluang bagus untuk meningkatkan kualiti padang. Bila lagi kita nak bergerak untuk menaik taraf padang jika bukan sekarang.
"Untuk Selangor FC, saya juga telah minta pegawai saya hubungi pejabat YB Menteri Besar untuk kita jelaskan hala tuju ini dan pelaksanaan terutama stadium mana yang akan terlibat.
"Sudah tentu, kalau dipertimbangkan kita berbesar hati dengan naik taraf padang, cuma saya tidak pasti sama ada Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dipertimbangkan untuk naik taraf ini dan kita menunggu maklum balas,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Sebelum ini, KBS menawarkan peruntukan melalui dana geran padanan kepada semua Exco belia dan sukan negeri untuk menaik taraf stadium, namun kos penyelenggaraan menjadi tanggungjawab kerajaan negeri.
Isu kualiti padang cow grass bukan asing di negara ini dengan rungutan terutama daripada pasukan yang beraksi di Liga Super sejak beberapa tahun lalu.
Dalam pada itu, Johan turut menyatakan pihaknya bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri berhubung kos penyelenggaraan apabila padang itu siap dinaik taraf.
Namun, beliau mengakui perancangan rapi perlu dilakukan terutama tempoh kerja naik taraf itu, selain kebimbangan ia mudah rosak jika tidak diselenggara dengan baik.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard turut menyambut baik tawaran tersebut dan berharap pengurusan stadium dapat memastikan kerja naik taraf itu berjaya.
"Ia amat baik dan satu inisiatif yang membuka mata pihak kelab bola sepak kerana ramai yang mengetahui kita bukan pemilik, sebaliknya hanya penghuni terbesar setiap tahun.
"Setiap kelab perlu mengambil tanggungjawab terutama dari segi kos penyelenggaraan untuk memastikan padang itu dijaga selepas siap,” katanya.
Menurutnya, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras akan menjadi padang yang dinaik taraf dan pihaknya sedia berbincang dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memastikannya diselenggarakan dengan baik.