Muhyiddin akan didakwa di mahkamah pagi ini

Iklan
Muhyiddin (tengah) hadir pada sesi solat hajat keselamatan negara dan solidariti menentang kezaliman anjuran Pas malam tadi.- Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa tujuh pertuduhan membabitkan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram (AMLA) di Mahkamah Sesyen di sini pada pagi ini.

Bagi kes salah guna kuasa, pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, sementara AMLA bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA).

Iklan
Iklan

Selepas Datuk Seri Najib Tun Razak, Muhyiddin akan menjadi bekas Perdana Menteri kedua dituduh atas pertuduhan mengikut peruntukan seksyen sama di mahkamah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki telah mengesahkan berita mengenai pendakwaan yang dihadapi oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu pada Khamis.

Iklan

Muhyiddin dilihat tiba di Ibu Pejabat SPRM pada Khamis jam 11.18 pagi pada Khamis bagi memberi keterangan dipercayai berkaitan kes salah guna dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

SPRM sebelum ini telah membekukan akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan beberapa individu termasuk Ketua Penerangan parti itu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad didakwa di mahkamah berkaitan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Iklan

Jana Wibawa dilaksanakan ketika pandemik Covid-19 dan ia kesinambungan kepada Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa yang dimulakan pada tahun 1993.

Pelaksanaannya diluluskan Jemaah Menteri pada 13 November 2020 ketika kerajaan ditadbir PN diterajui Muhyiddin.