Muhyiddin akan didakwa enam pertuduhan hari ini

Iklan
Muhyiddin semalam hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM selama lapan jam. - Foto fail/REUTERS

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas enam pertuduhan salah guna kuasa untuk suapan dan pengubahan wang haram membabitkan nilai ratusan jutaan ringgit bermula tahun 2020 lalu.

Bagi kes salah guna kuasa untuk rasuah, pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Iklan
Iklan

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika ia dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kes AMLA pula dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Iklan

Seksyen ini membawa hukuman penjarakan sehingga 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sekiranya pertuduhan ini dibuat, Muhyiddin akan menjadi bekas Perdana Menteri kedua selepas Datuk Seri Najib Tun Razak, dituduh atas pertuduhan mengikut peruntukan sesyen sama di mahkamah itu.

Difahamkan, pertuduhan ketujuh membabitkan kesalahan kes AMLA akan dibuat di Mahkamah Sesyen Shah Alam, minggu depan.

Iklan

Pada 18 Februari lalu, Muhyiddin mengesahkan dipanggil SPRM untuk memberi keterangan mengenai Jana Wibawa sebagai saksi dan bukannya suspek.

Bagaimanapun, sehari kemudian SPRM mengesahkan Ahli Parlimen Pagoh itu antara suspek yang disiasat berhubung kes berkenaan dan siasatan ke atasnya masih diteruskan.

Pada 20 Februari, SPRM memaklumkan seorang pemimpin kanan sebuah parti politik berstatus Ahli Parlimen dan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat, ditahan berhubung kes Jana Wibawa.

Sehari kemudian, bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu. Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah.

Pada hari sama, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, dihadapkan di mahkamah sama atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM500,000 membabitkan projek Jana Wibawa.

Dia sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 22 Februari atas kesalahan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan projek sama, disusuli pendakwaan kali ketiga pada 28 Februari berhubung projek Jana Wibawa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas pertuduhan meminta rasuah RM2 juta.

Pada 22 Februari juga, seorang pengarah syarikat perabot di Pagoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung program Jana Wibawa bernilai RM12.875 juta, sejak dua tahun lalu.

Jana Wibawa dilaksanakan ketika pandemik Covid-19, dan ia kesinambungan kepada Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa yang dimulakan pada tahun 1993.

Pelaksanaannya diluluskan Jemaah Menteri pada 13 November 2020 ketika kerajaan ditadbir PN diterajui Muhyiddin.