SHAH ALAM - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang menilai dan memperincikan kaedah terbaik bagi melaksanakan kemudahan penggunaan baki caruman dalam Akaun 2 ahlinya sebagai sokongan untuk membuat pinjaman peribadi bagi mereka yang memerlukan bantuan tunai.
KWSP dalam satu kenyataan berkata, pihaknya ambil maklum mengenai pengumuman terkini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kemudahan tersebut.
Iklan
Iklan
"KWSP ambil maklum perkara ini dan akan mempertimbangkan semua faktor yang relevan bagi memastikan pelaksanaan yang lancar.
"Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan kemudahan ini akan diumumkan oleh KWSP pada masa yang akan datang," ujar kenyataan itu pada Jumaat.
Semalam, Anwar ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat memberitahu kerajaan akan memperkenalkan kaedah yang membolehkan pencarum KWSP menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan.
Katanya, kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang 'terdesak' untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.