Jurulatih gimnasium mengaku tidak salah cabul gadis

Iklan
Tertuduh (tengah) mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan mencabul seorang gadis pada 7 Mac lalu

GEORGETOWN - Seorang jurulatih gimnasium mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan mencabul kehormatan dan menggunakan kekerasan untuk mencabul seorang gadis di sebuah pusat kecergasan di Air Itam.

Khaw Chee Young, 29, yang memakai baju T berwarna kelabu dan berseluar pendek biru itu membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengaibkan kehormatan seorang gadis.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Iklan

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang belum berkahwin didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud untuk mencabul kehormatan gadis yang sama.

Oleh itu, dia didakwa telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman.

Iklan

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan tersebut di sebuah pusat kecergasan di All Season Place, Lebuh Raya Thean Teik pada jam 9.40 pagi, 7 Mac lalu.

Pegawai Pendakwa, Zaida Azwa Zainal menawarkan RM5,000 dengan seorang penjamin untuk pertuduhan pertama manakala untuk pertuduhan kedua, beliau menawarkan RM7,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang diwakili peguam H C Chan kemudiannya memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan dengan alasan anak guamnya hanya berpendapatan RM2,000 sebulan selain wang jaminan hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

Selain itu, pasport tertuduh sudah tamat tempoh pada 2020 yang tidak membolehkannya keluar negara dan menjaminkan tertuduh hadir ke mahkamah setiap tarikh yang ditetapkan.

Mohamad Azlan menetapkan wang jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan pertama dan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan kedua.

Kes ditangguhkan pada 17 April depan untuk serahan dokumen.