'Pendakwaan saya satu bentuk pemangsaan politik terancang'

Iklan
Muhyiddin pada sidang media di pekarangan Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto Sinar Harian/ RAFEQ REDZUAN

KUALA LUMPUR - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan proses siasatan yang dilakukan ke atasnya sehingga dituduh di mahkamah.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, sebelum keterangannya diambil pada Khamis susulan didakwa salah guna kuasa meluluskan rayuan pengecualian cukai oleh Yayasan Al-Bukhary, beliau diberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara telah membuat keputusan untuk mendakwanya.

Iklan
Iklan

Ahli Parlimen Pagoh itu mempersoalkan bagaimana keputusan untuk mendakwa telah dibuat, sedangkan keterangan daripadanya mengenai perkara tersebut masih belum diambil atau direkodkan.

"Mereka hanya menggunakan agensi penguat kuasa sebagai alat untuk mencapai tujuan politik mereka.

Iklan

"Jelas pendakwaan ke atas saya adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang," katanya dalam sidang akhbar di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat.

Muhyiddin menegaskan, beliau telah berkecimpung dalam politik selama 50 tahun dan sepanjang tempoh itu, tidak ada apa-apa kesalahan yang dilakukan.

Iklan

Malah kata beliau, dia sentiasa akur kepada peraturan dan tidak melanggar undang-undang dengan sewenang-wenangnya.

"Pegawai-pegawai kerajaan yang pernah berkhidmat dengan saya pasti tahu sikap dan pendirian saya mengenai pematuhan kepada peraturan dan undang-undang.

"Namun saya terima pertuduhan ke atas saya ini dengan sabar. Saya tahu dalam dunia politik, ramai musuh yang ingin menghancurkan saya, keluarga dan parti dibina, lebih-lebih lagi apabila saya berhadapan dengan musuh politik yang rakus," katanya.

Beliau menjelaskan, semua itu akan dihadapi dengan sabar kerana ia merupakan perjuangan yang dipilih.

Tambahnya, beliau sama sekali tidak memilih untuk bersekongkol atau tunduk dengan desakan mereka yang batil.

Muhyiddin berkata, berdiri atas prinsip yang dipegang selama ini, beliau serta pasukan peguam akan berusaha dan berikhtiar untuk mendapatkan keadilan di mahkamah.

"Bertenang dan berilah peluang kepada saya untuk membela diri melalui proses undang-undang.

"Ini zaman kegawatan ekonomi akibat Covid-19 dan rakyat sedang mengalami kesusahan hidup.

"Saya tidak mahu membebankan rakyat untuk membela diri saya. Kita semua mesti patuh kepada undang-undang dan pelihara keamanan negara.

"Apa yang saya harapkan hanyalah titipan doa daripada saudara dan saudari sekalian supaya saya diberikan keadilan dan kita semua dilindungi oleh ALLAH SWT," katanya.